Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pertimbang laksana K9, K11

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pertimbang laksana K9, K11

DR. ROSLAN Hussin bertanya khabar murid ketika mengadakan lawatan hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Abdullah, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam. – FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Jabatan Pendidikan Ne­geri Sembilan sedang mempertimbangkan beberapa buah sekolah lagi di negeri ini bagi Pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9).

Pengarahnya, Dr. Roslan Hussin berkata, pihaknya kini dalam peringkat meneliti maklumat berkaitan termasuk mengenai Pelaksanaan Peroperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).

“Penelitian itu mengambil ki­ra beberapa aspek iaitu jarak, pendapatan, taraf sosial dan taraf ekonomi sekitar. Saya harap penyediaan platform se­perti ini dapat menarik minat murid untuk belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di Sekolah Kebangsan (SK) Undang Abdullah di sini.

Pelaksanaan Sekolah Model Khas K9 adalah bagi menyediakan peluang pendidikan pada peringkat rendah dan mene­ngah rendah di sebuah sekolah yang sama bagi tempoh sembilan tahun iaitu dari tahun satu sehingga tingkatan tiga.

Ia juga menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat, memastikan akses yang sama pada semua peringkat pendidikan dan latihan vokasional untuk golongan minoriti termasuk orang kurang upaya dan Orang Asli.

Sementara itu, Roslan menjelaskan, SK Undang Abdullah yang terletak di Kampung Chennah di sini menjadi sekolah pe­rintis bagi pelaksanaan Sekolah Model K9 di negeri ini.

“Sekolah ini dipilih menjadi sekolah perintis selepas kami melihat jarak sekolah dari tempat tinggal menjadi faktor mereka (murid) termasuk orang Asli sukar untuk ke sekolah,” ujarnya.

“Ada pelajar yang tinggal di Kampung Orang Asli Tohor, Jeram Lesung yang mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk ke sekolah.

“Saya berharap mereka dapat menggunakan peluang ini dan bersama kami mengatasi masalah keciciran pelajaran dalam kalangan pelajar masyarakat orang Asli,” ujarnya.

Seramai 25 orang pelajar tingkatan satu telah mendaftar dan terdapat lima orang guru telah disediakan di SK Undang Abdullah menerusi pelaksanaan Sekolah Model K9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN