PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Tash Yong mengakui lebih selesa dengan penampilan fizikalnya sekarang meskipun mengalami kenaikan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) selepas mendirikan rumah tangga.
Tash atau Nur Natasha Shazlia Rosli, 36, berkata, perubahan fizikal daripada 46kg kepada 56kg itu membuatkan dirinya kelihatan lebih berisi berbanding sebelum ini.
Jelas pelakon drama Menantu Ting Tong ini, berat badan lamanya seolah-olah tidak ideal dengan struktur fizikalnya sehingga menyebabkan dia kelihatan terlalu cengkung dan kurang sihat.
“Alhamdulillah, saya sangat bahagia dengan penampilan sekarang yang kelihatan lebih berisi dan nampak lebih bermaya. Apabila melihat semula gambar dan drama-drama lama, saya rasa diri saya dahulu kelihatan terlalu cengkung.
“Mungkin disebabkan saya memiliki jenis tulang yang besar, jadi berat badan dahulu membuatkan saya kelihatan seperti tidak sihat. Walaupun sesetengah orang nampak comel dengan berat 46kg, situasi itu berbeza dengan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Tash menegaskan bahawa dia tidak pernah mengabaikan penjagaan diri, sebaliknya tetap mementingkan kekemasan mengikut kesesuaian bentuk tubuh terkini.
Perubahan berat badan tersebut juga menyebabkannya perlu menukar saiz pakaian daripada saiz XS kepada saiz S atau M ketika ini.
“Jika ditanya sama ada saya kisah atau tidak dengan penampilan sekarang, semestinya saya masih sangat mengambil berat tentang perkara itu. Cuma, apa yang saya lakukan sekarang adalah menyesuaikan cara berpakaian mengikut berat badan terkini.
“Setakat ini, perubahan tersebut tidak mencetuskan sebarang masalah kepada saya. Dahulu saya memakai pakaian bersaiz XS, tetapi sekarang kadangkala saya perlu memilih saiz S atau M,” ujarnya.
Untuk rekod, Tash pernah membintangi drama-drama tempatan seperti Memori Cinta Suraya, Shhh… I Love You dan Cinta Ibadah. -UTUSAN










