Keluarga tuntut IPCMC ditubuh siasat kematian Noorizwan

Keluarga tuntut IPCMC ditubuh siasat kematian Noorizwan

KIRA-kira 100 individu termasuk ahli keluarga, peguam dan pertubuhan masyarakat sivil berhimpun di Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum menuntut keadilan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 individu termasuk ahli keluarga, peguam dan pertubuhan masyarakat sivil berhimpun di Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum menuntut keadilan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan polis.

Memorandum itu turut mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan salah laku polis dilaksanakan secara bebas dan telus.

Antara tuntutan utama dikemukakan ialah supaya kematian Noorizwan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain anggota polis yang disyaki terlibat digantung tugas dan ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa gangguan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memorandum berkenaan turut menggesa Ahli Parlimen membangkitkan kes itu di Dewan Rakyat dan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung status siasatan serta tindakan yang telah diambil terhadap anggota polis yang terlibat.

Selain itu, mereka meminta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menyiasat kematian Noorizwan serta kes kematian dalam tahanan polis secara keseluruhan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tuntutan mewujudkan semula IPCMC wajar dibentangkan pada parlimen memandangkan ia mulai tidak terlaksana walaupun sudah pernah diketengahkan sebelumnya.

“Secara peribadi memang ada menuntut ditubuhkan IPCMC. Bukannya IPCC yang sekarang ini. 

“Dia tidak ada kuasa untuk menyiasat,untuk bertindak. Kita ada kuku, ada taring, ada gigi yang boleh mengambil tindakan,” katanya. 

Selain itu, Ahli Parlimen Bukit Jelutong, Rsn Rayer berkata, perkara itu perlu dikemukan dan disiasat secara menyeluruh dan bukan menyalahkan satu pihak.

“Dalam sesi gulungan nanti, akan kami bangkitkan perkara ini bersama dengan Menteri Dalam Negeri. Bukan itu sahaja saya ingin semua yang menonton secara langsung memahami bahawa kita tidak ingin menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akui tugasan mereka, kita menghormati tugasan mereka, tetapi kita mahu pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian ini disiasat dengan segera,” katanya

Noorizwan dilaporkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu selepas dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pada 30 September ketika berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Berdasarkan penemuan bedah siasat yang dimaklumkan kepada keluarga, punca kematian Allahyarham ialah trauma tumpul di kepala, selain terdapat pendarahan di otak dan usus.

Bagaimanapun, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa.

Penganjur memorandum berpendapat penubuhan IPCMC perlu disegerakan bagi menyediakan mekanisme pengawasan yang lebih bebas, termasuk menyiasat kematian dalam tahanan serta salah laku polis yang serius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini