Itu politik - Tun M

Itu politik – Tun M

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kita berpegang kepada undang-undang, kalau orang buat salah kita ambil tindakan tetapi jika hanya sebab dia daripada parti lawan kita nak dera, itu politik”.

Demikian reaksi penasihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika disoal mengenai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, situasi semasa yang memperlihatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang dikenakan tindakan dan disiasat, tidak menggambarkan ahli Parlimen kerajaan bersih.

“Kita lihat sekarang ni, yang kena dakwaan dan diselidik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah orang yang bukan dalam kerajaan.

“Seolah-olah orang kerajaan ni bersih belaka. Saya tahu UMNO umpamanya menggunakan duit cukup banyak dalam Pilihanraya walaupun dia kalah. Meletakkan banyak poster dan berbelanja berjuta-juta tetapi tidak ada kes terhadap ahli parti tersebut mahupun Pakatan Harapan.

“Walaupun mungkin ada asas kesalahan tetapi asasnya ini adalah tindakan politik. Nak bagi orang ini tak boleh lawan dengan kerajaan. Masa saya tidak ada (seperti ini), siapa buat salah dia masuk dalam,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat Putra, di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pendang itu di lobi Parlimen.

Malah, sebelum ini, Anwar juga mengemukakan saman RM5 juta terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berhubung video ucapannya di Tebuk Panchor yang mengatakan Anwar mempunyai agenda songsang jika menjadi perdana menteri.

Namun, Razman memohon maaf kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu atas dakwaan-dakwaan tersebut dalam ceramah semasa kempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Mahathir turut mempersoalkan Anwar sebagai Perdana Menteri dalam memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu.

“Apa yang dia (Anwar) buat untuk orang Melayu setakat ini? Bila kita kata orang Melayu miskin, dia kata orang Cina pun miskin.

“Saya masih ingat, semasa kecil. Semua orang miskin, tetapi orang Cina bila kita merdeka mereka nampak peluang dan berjaya. Orang Melayu pula tak terlibat dengan ekonomi, mereka cuma tanam padi, tangkap ikan sahaja jadi tak maju tetapi yang maju orang Cina sebab dapat peluang banyak.

“Saya rasa segala usaha atasi kemiskinan tak kira kaum akan beri kebaikan kepada orang bukan Melayu, orang Melayu tak diberi tumpuan kepada masalah mereka. Saya fikir mereka tidak akan dapat mengatasi kemiskinan orang Melayu,” katanya. –utusan

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN