Harga sesuap rezeki

Harga sesuap rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUNYI dentingan sudu dan garpu berlaga-laga sesama sendiri dengan keriuhan selera waktu tengah hari di Kafeteria Sri Siantan. Di atas kaunter, terhidang lauk-pauk yang pelbagai rasa dengan aroma yang sedia menggamit kunjungan perut-perut yang sedang kelaparan. Di satu sudut, deretan masakan Melayu klasik yang begitu memikat selera. Kecur air liur secara tiba-tiba dengan kepingan patin masakan tempoyak yang kuahnya pekat kelihatan berkilau di sebelah periuk tanah berisi daging salai masak lemak cili api yang menjelmakan kepedasan asli.

Amran menjeling ke arahku seperti memberitahu agar aku segera mengambil makanan manakala dia pula mencari meja kosong maklumlah pada waktu puncak tengah hari, di kafeteria itu agak sukar mencari meja kosong untuk melampiaskan nafsu makan masing-masing.

Mataku mengitari persekitaran, ramai pelanggan yang aku sendiri tidak mengenalinya. Barangkali mereka datang dari pejabat berbeza maklumlah kafeteria itu terletak di bawah bangunan yang menempatkan pelbagai jenis pejabat dan kebetulan, pejabatku juga turut berada di tingkat sembilan bangunan tersebut. Ada juga kenalan pejabatku yang kebanyakan perempuan datang secara berkelompok. Mereka hanya tersengih apabila berselisih denganku. Di tangan masing-masing tersedia pinggan berisi sedikit nasi dan limpahan lauk-pauk penuh di pinggan. Itu pun satu ekspolarasi rasa yang menyatukan pelbagai selera di dalam satu pinggan.

Aku hanya mengambil nasi, sambal ikan bilis petai serta ulam-ulaman. Harga untuk sepinggan nasi beserta satu lauk dan ulam sudah mencapai RM12. Itu pun aku hanya memesan air kosong.

Jika aku memesan teh tarik atau jus oren pastilah untuk makan tengah hari itu aku terpaksa membelanjakan kira-kira RM15. Harga sesuap rezeki yang perlu aku bayar meskipun agak mahal!

Aku membawa makanan menuju ke arah Amran yang duduk di satu sudut kafeteria itu. Amran bingkas bangun apabila aku menghampirinya. Tanpa sebarang kata, dia terus menuju ke tempat lauk-pauk. Barangkali dia tidak tertahan menunggu aku yang lama memilih lauk di situ.

Di sebelah mejaku, beberapa orang perempuan duduk sambil berbual-bual. Salah seorang perempuan di situ memesan hidangan mangkuk besar ikan patin tempoyak dan dua ekor ikan bakar manakala dua rakannya pula memesan semangkuk kari daging tetel dan ikan goreng masak sambal. Masing-masing tidak mahu kalah. Aku hanya tergamam apabila melihat tubuh mereka yang kurus dan tidak setanding dengan makanan yang dipesan.

“Eh, apa yang ralit sangat tu?” Tegur Amran membuatkan aku tersentak.

Aku hanya tersengih seperti kerang busuk. Aku hanya tunduk sambil mula menjamah makananku. Begitu juga Amran. Selang dua puluh minit, makanan yang aku makan sudah licin dan mengelap mulut dengan tisu sambil mengucapkan rasa syukur dengan limpahan rezeki pada hari itu.

Aku mengerling meja di sebelah. Keningku berkerut. Pelanggan di meja sebelah sudah bangun meninggalkan meja. Masih banyak makanan yang tidak habis dimakan. Ikan patin tempoyak masih ada sebahagian isi di dalam mangkuk. Begitu juga kari daging tetel manakala dua ekor ikan bakar langsung tidak diusik dan ditinggalkan terbongkang begitu sahaja di dalam pinggan. Samalah nasib dengan ikan goreng masak sambal yang hanya sedikit sahaja dicuit.

Aku menggeleng kepala seperti tidak berpuas hati. Perasaan marahku tiba-tiba sahaja muncul di sebalik rasa kecewa itu. Aku bukan ‘penyibuk’ tetapi pantang bagiku jika ada makanan yang tidak habis dibiarkan begitu sahaja.

“Kenapa?” Soal Amran tatkala melihat situasiku itu.

“Kau tengoklah meja sebelah. Makanan masih banyak. Ada yang langsung tak dimakan. Kalau tak nak tak perlulah ambil. Inikan dah membazir namanya!” Aku mula berhujah seperti seorang pemidato.

Amran hanya menganggukkan kepala seperti seekor burung belatuk. Aku masih lagi tidak berpuas hati. Ingatan sewaktu aku masih kecil dan tinggal di kampung tiba-tiba menerjah fikiranku.

Terpampang wajah ayah yang garang duduk bersila di depan hidangan makanan membuatkan aku berasa takut.

Tengah hari itu, mak hanya menumis kangkung dan menggoreng ikan pekasam sahaja. Mak juga menumbuk sambal belacan serta ulam pucuk gajus yang dipetik dari belakang rumah. Menu masakan kampung itu biar pun tidak mewah tetapi cukup menyelerakan. Ditambah pula makan dengan nasi panas-panas pasti akan bertambah makan tanpa disedari.

Selepas membaca doa, kami mula menyuap makanan. Ayah makan dengan penuh selera begitu juga mak. Aku hanya makan sedikit. Nasi di dalam pinggan yang dikuis-kuis begitu sahaja.

Sebenarnya, aku sudah kenyang makan jambu air bersama-sama Seman dan Malik. Kami memanjat pokok jambu air sambil bermain-main. Justeru, sudah pastilah aku tidak dapat menghabiskan nasi di dalam pinggan. Namun, aku masih berpura-pura menjamah nasi tetapi sedikit demi sedikit.

“Mirul, makan nasi tu betul-betul. Tak baik main-main masa makan!” Kata ayahku membuatkan aku terkejut.

“A…a…ayah, Mirul tak…tak…habis.” Kataku tergagap-gagap.

Ayah membeliakkan biji matanya. Misainya yang lebat bergerak-gerak seperti memberi amaran pertama kepadaku. Aku pernah melihat ayah melibas kaki abang kerana membuang roti ke dalam parit. Aku juga pernah melihat ayah menjentik telinga kakak kerana makan nasi tidak habis. Kini, giliranku pula dan aku juga sudah tahu betapa ayah sangat marah jika mendapati anak-anaknya suka membazir terutama berkaitan makanan.

“Makan sampai habis. Kalau tak!” Ayah tidak menyambung ayat seterusnya. Namun aku lebih tahu apa ayat seterusnya itu.

Aku cuba makan perlahan-lahan. Buah jambu bercampur-aduk dengan nasi serta sayur kangkung membuatkan tekakku mula berasa loya. Aku sedaya upaya menahannya. Minum air bagi mengelakkan termuntah. Jika nasi tidak habis, aku sudah dapat merasakan rotan ayah yang tergantung padu paku dinding akan melibas kakiku.

“Makan cepat! Jangan main-main!” Sergah ayah membuatkan aku tiba-tiba bingkas bangun meluru ke dapur.

Ayah naik berang. Dicapainya rotan lantas melibas kakiku dengan kuat. Aku menangis dan menjerit kesakitan. Aku segera berlari masuk ke dalam bilik. Dari luar bilik, aku mendengar ayah marah-marah tanpa henti.

“Tak bersyukur. Sudah dapat makan, malah tak habis. Pantang betul aku kalau orang tak habis makan. Bukannya senang hendak cari sesuap rezeki. Ini ditinggalkannya sisa pula!” Kata ayah dengan nada kesal.

Aku hanya duduk di tepi katil dengan melihat libasan rotan di kakiku. Air mata mengalir laju di pipi. Aku hanya berbuat salah kerana tidak habis makan dan bukannya mencuri atau pun degil.

Mak masuk ke dalam bilik dengan membawa minyak gamat untuk disapu ke kakiku. Mak hanya mengusap air mataku dengan lembut.

“Ayah bukan tak sayangkan Mirul. Ayah tak suka orang yang membazir. Membazir itu kan amalan syaitan.” Pujuk mak sambil menyapu minyak gamat di kakiku.

“Kita bukan orang senang. Cuba tengok ayah siang malam bekerja kuat di sawah. Hendak mendapatkan sebutir beras pun susah. Ayah tak suka orang yang tak habis makan. Kata nenek mak dulu, kalau nasi tak habis dimakan nanti malam-malam dia akan menangis.” Pujuk mak lagi.

Aku hanya merenung wajah mak. Sejak itu, aku mengerti mengapa ayah marah jika ada di antara kami yang tidak menghabiskan makanan. Kerana harga untuk sesuap rezeki terlalu mahal untuk dibuang.

Aku juga tahu melalui pembacaanku, dianggarkan di Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan sisa makanan setiap hari dengan hampir 260 kilogram dibuang oleh setiap individu setahun. Ini semua berpunca daripada sikap masyarakat, pembelian berlebihan di bazar, bufet dan penyediaan makanan yang tidak dihabiskan menjadi penyumbang terbesar terhadap limpahan sisa makanan.

Meskipun pihak berkuasa dan NGO giat menjalankan program kitar semula sisa organik dan pengagihan makanan lebihan kepada golongan yang memerlukan tetapi ada juga yang masih tidak faham tentang perkara itu. Program menukar sisa makanan kepada kompos atau baja juga turut disebar luas kepada orang ramai. Sekiranya amalan pembaziran ini terus berlaku pastilah negara akan mengalami pelbagai masalah seperti pencemaran dan wabak penyakit.

“Sudahlah Mirul. Jomlah kita balik ke pejabat.” Tegur Amran membuatkan ingatanku kembali ke alam nyata. Aku memegang kesan libasan di kaki yang sakitnya masih terasa sehingga ke hari ini.

Kerana libasan rotan ayah membuatkan aku insaf dan sedar tentang kesilapanku.

Aku dan Amran meninggalkan kafeteria itu menuju ke lif di pekarangan lobi. Sewaktu aku berjalan menuju ke pejabat, aku terlihat seorang gelandangan menyelongkar tong sampah mencari sisa makanan di situ. Keadaannya yang kusut-masai dan compang-camping itu melahirkan rasa simpati di lubuk hatiku.

Alangkah baiknya makanan yang tidak habis tadi diberikan kepada orang seperti itu. Kasihan. Getusku di dalam hati. Ada air mata yang mula bertakung di kelopak mataku secara tiba-tiba.

Ketika aku melintasi bilik mesyuarat, aku terpandang sesuatu. Di atas meja itu aku melihat kuih-muih terhidang dan disusun dengan rapi. Ada karipap, onde-onde, pulut panggang dan kuih gulung. Dua buah teko yang barangkali berisi kopi dan teh turut disajikan bersama-sama hidangan itu.

Melihatkan semua itu membuatkan aku kembali teringat tentang peperangan yang berlaku di Gaza. Setiap hari adalah perjuangan hidup dan mati. Agihan bantuan makanan yang sedikit. Rakyat

Palestin terpaksa hidup dalam kelaparan sedangkan di Malaysia, rakyatnya hidup dengan makanan yang melimpah-ruah. Di Gaza, ditemukan kanak-kanak dengan wajah cengkung mencari sisa makanan di tanah. Orang-orang tua yang terbaring lemah kerana kekurangan zat makanan. Bayi-bayi yang baru lahir turut menerima kesan yang sama iaitu kekurangan nutrisi. Manakala kedai-kedai pula ditutupi debu akibat runtuhan.

Di pusat agihan, beratus-ratus orang sudah beratur panjang, manakala trak bantuan yang berjaya masuk hanya membawa jumlah makanan yang sangat sedikit akibat sekatan yang ketat. Di dalam khemah, ibu-ibu mengambil sisa tepung gandum dan membancuhnya dengan sedikit air masin lalu dibakarnya di atas api kecil. Hasilnya adalah sekeping roti keras yang pahit. Roti itu akan dibahagikan menjadi dua bahagian dan diberikan kepada anak-anak Palestin. Mereka makan demi mengisi perut yang kosong. Berbeza di sini yang rata-ratanya ‘hidup untuk makan’ dan bukannya ‘makan untuk hidup’.

Jam sudah menunjukkan masa untuk pulang ke rumah. Beberapa rakan sepejabat mula beredar dari situ. Aku melalui bilik mesyuarat yang sudah sunyi sepi. Kuih-muih yang masih bersisa itu masih banyak di atas meja. Semuanya hanya buat endah tak endah. Seorang rakan sekerja yang mesra kupanggil Kak Mia mengheret sebuah tong sampah menuju ke meja itu. Dia mula mengasingkan kuih-kuih itu ke dalam sebuah bekas untuk dibuang tetapi aku menegahnya.

“Kak Mia, beri saya semua kuih tu. Biar saya bawa balik. Sayang kak kalau buang,” kataku.

Ketika bungkusan sisa kuih-muih itu berada di tanganku, secara tiba-tiba wajah ayahku muncul di ruang mataku. Betapa aku bersyukur kerana telah dididik dengan baik oleh ayah untuk menghargai makanan. Aku belajar bagaimana sukarnya mencari sesuap rezeki dengan terpaksa bekerja keras siang dan malam. Sesungguhnya, di hujung rotan ayah benar-benar mengajar aku erti menghargai rezeki. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN