Bagi kebanyakan penyanyi baharu, single pertama selalunya menjadi ruang untuk memperkenalkan diri kepada khalayak menerusi kisah cinta atau pengalaman peribadi.
Namun berbeza bagi Salome Das apabila dia memilih untuk mengangkat sebuah negara yang begitu dekat di hatinya sebagai tema utama karya sulungnya.
Menerusi lagu berjudul Back 2 Malaysia, wanita berdarah kacukan India dan Perancis itu bukan sahaja memperkenalkan dirinya sebagai artis baharu, malah turut berkongsi kisah mengenai sebuah tempat yang banyak membentuk perjalanan hidupnya.
Walaupun dilahirkan di Jerman dan pernah menetap di beberapa negara, Salome menganggap Malaysia sebagai rumah yang sebenar.
Menurutnya, idea menghasilkan lagu yang menyebut nama Malaysia secara langsung tercetus daripada keinginannya untuk memperkenalkan negara itu kepada pendengar di seluruh dunia menerusi muzik pop.

“Saya mahu menulis sebuah lagu pop yang mempunyai perkataan Malaysia di dalamnya kerana terus-terang, saya tidak fikir perkara itu pernah benar-benar dilakukan dalam sebuah lagu pop global sebelum ini.
“Saya membayangkan orang di seluruh dunia menyanyikan perkataan Malaysia dengan penuh semangat walaupun mereka mungkin belum pernah datang ke sini.
“Bagi saya, ini adalah satu cara untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dan berkongsi sebuah tempat yang sangat saya cintai dengan orang ramai. Malaysia telah memberikan begitu banyak kepada saya dan di sinilah segala-galanya bermula, daripada kerjaya peragaan, perjalanan saya di TikTok sehinggalah kepada kerjaya muzik yang saya ceburi hari ini,” katanya.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu, Salome menyifatkan *Back 2 Malaysia* sebagai penghargaan buat negara yang banyak menyumbang kepada pembentukan dirinya sebagai individu dan artis.
Katanya, dia memang mahu lagu berkenaan menjadi pelancaran solo pertamanya kerana merasakan segala kejayaan yang dikecapinya hari ini mempunyai kaitan rapat dengan Malaysia.
“Sangat penting untuk saya menjadikan lagu ini sebagai pelancaran solo pertama kerana Malaysia ialah tempat yang memberikan begitu banyak peluang dalam hidup saya. Rakyatnya, budayanya, tenaganya dan semangat komuniti yang ada di sini membentuk diri saya seperti hari ini.

“Lagu ini sebenarnya adalah surat cinta saya kepada Malaysia. Ia adalah cara saya mengucapkan terima kasih kepada negara yang membesarkan saya dan menghargai sebuah tempat yang akan sentiasa terasa seperti rumah walau di mana saya berada,” katanya.
Bagi penyanyi berusia 20-an itu, tema utama yang ingin disampaikan menerusi lagu tersebut adalah mengenai rumah, identiti dan rasa rindu terhadap tempat yang begitu bermakna dalam kehidupan seseorang.
Walaupun memiliki latar belakang yang pelbagai, Salome tidak pernah mempunyai keraguan apabila ditanya tentang tempat yang paling dekat dengan jiwanya.
“Saya dilahirkan di Jerman, saya berdarah kacukan Perancis dan India, dan saya pernah tinggal di banyak negara yang berbeza. Jadi ramai orang sering bertanya dari mana asal saya. Hakikatnya, Malaysia ialah tempat yang paling saya anggap sebagai rumah.
“Di sinilah saya membesar, mendapat rakan-rakan pertama, mengenali siapa diri saya dan memulakan perjalanan kerjaya saya. Tidak kira ke mana kehidupan membawa saya, Malaysia adalah tempat yang akan sentiasa mempunyai makna yang sangat istimewa,” katanya.
Menurut Salome, kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini turut memainkan peranan besar dalam membentuk cara pemikiran dan keperibadiannya.
Malah, pengalaman membesar dalam masyarakat berbilang kaum menjadi antara pengaruh terbesar dalam pembentukan identitinya sebagai seorang artis.
“Apa yang paling saya sukai tentang Malaysia selain makanan dan pulau-pulaunya adalah kepelbagaian yang wujud di sini. Membesar dalam persekitaran yang dikelilingi oleh pelbagai budaya, bahasa, agama dan tradisi mengajar saya untuk berfikiran terbuka dan menghargai semua lapisan masyarakat.
“Saya rasa pengalaman itu memainkan peranan besar dalam membentuk diri saya sebagai seorang artis hari ini. Tidak kira ke mana saya pergi, Malaysia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya kerana ia bukan sekadar tempat saya pernah tinggal, tetapi tempat yang membantu membentuk identiti saya,” katanya.
Dunia peragaan
Di sebalik kemunculan sebagai penyanyi, perjalanan Salome sebenarnya bermula dalam dunia peragaan.
Dia mendedahkan pernah berdepan pengalaman dibuli ketika di sekolah sebelum mengambil keputusan meninggalkan alam persekolahan dan memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai model sepenuh masa.
Namun di sebalik kesibukan itu, impian untuk menjadi penyanyi tidak pernah terpadam.
“Saya sentiasa tahu bahawa saya mahu menjadi seorang penghibur. Saya mula menari dan bermain piano sejak kecil, manakala pengalaman pertama saya menyanyi di hadapan khalayak berlaku ketika keluarga saya berpindah ke India.
“Apabila saya meninggalkan sekolah dan mula bekerja sebagai model sepenuh masa, saya berjanji kepada diri sendiri bahawa kerjaya peragaan hanyalah batu loncatan untuk mencapai impian sebenar saya iaitu muzik. Saya mahu membina kerjaya, mencari rezeki dan akhirnya membiayai impian muzik saya sendiri,” katanya.
Takdir akhirnya membuka jalan yang tidak pernah dijangka apabila sehari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-20, dia menerima mesej daripada seorang pengurus muzik menerusi Instagram yang bertanyakan sama ada dia pernah menyanyi.
Lebih mengejutkan, ketika itu dia tidak pernah memuat naik sebarang video nyanyian di media sosial.
“Saya bertemu dengan pasukan itu pada minggu yang sama dan sejak itu kehidupan saya berubah.
“Saya menghabiskan bertahun-tahun dalam sesi rakaman studio, kem penulisan lagu dan bekerjasama dengan penerbit serta penulis lagu dari seluruh dunia. Muzik sentiasa menjadi impian saya dan sehingga hari ini saya masih berasa luar biasa kerana akhirnya dapat melakukan apa yang saya cintai dan berkongsi muzik saya dengan dunia,” katanya.










