Suara rakyat Kampung Gajah sentiasa diberi perhatian

Suara rakyat sentiasa diberi perhatian

Zafarulazhan Zan turun padang meninjau kawasan banjir di Kampung Gajah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBERIKAN perkhidmatan terbaik kepada rakyat menjadi keutamaan Zafarulazhan Zan, 46, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah di bawah Parlimen Pasir Salak, Perak.
ADUN dari Pas itu berpegang kepada prinsip jawatan yang diberikan merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

BIODATA
Zafarulazhan Zan
Umur: 46 Tahun
Jawatan Dalam Parti Politik: Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Salak
Pengalaman Politik:
 Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Salak
 Ketua Lajnah Keluarga Perhubungan Pas Negeri Perak

“Memberikan perkhidmatan yang termampu kepada rakyat adalah amanah Allah yang digalas atas bahu saya. Saya mesti melaksanakan amanah ini sebaiknya, kerana ia akan disoal di akhirat kelak,” katanya.

Sentiasa bersama masyarakat menjadi keutamaan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Katanya, antara aktiviti yang sering dilaksanakan termasuk menziarahi penduduk sakit, menghadiri jemputan majlis komuniti serta menyantuni golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Setiap hari saya bersama penduduk. Saya percaya seorang wakil rakyat perlu sentiasa turun padang dan mendengar sendiri suara rakyat agar setiap isu dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut akan terus diamalkan bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara dan hubungan erat antara pemimpin serta rakyat dapat diperkukuhkan.

 

Memberi bantuan beras kepada penduduk yang memerlukan.

Zafarulazhan mula menjadi ADUN Kampung Gajah selepas menang PRU15. Pada PRU15, beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang dengan 15,634 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin (11,877 undi), calon Pejuang, Mohd. Safian Sauri Pandak Abd. Samad (299 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH) 2,824 undi.

Beliau juga bertanding Parlimen Pasir Salak pada PRU14, namun kalah kepada calon BN, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan calon PKR.

EKONOMI PERTANIAN

Sosio ekonomi penduduk DUN Kampung Gajah lebih tertumpu kepada ekonomi pertanian, ternakan dan perikanan yang telah lama menjadi tunjang kehidupan masyarakat setempat.Tetapkan imej terencana

Sektor ini merupakan ekonomi tradisional yang berkembang sejajar dengan keadaan geografi kawasan tersebut yang mempunyai tanah yang subur serta sumber air yang mencukupi.

“Kebanyakan penduduk memperoleh pendapatan melalui aktiviti berkait rapat dengan penggunaan sumber semula jadi dan pengeluaran hasil makanan,” katanya.

Mengenai masalah yang sering dibangkitkan penduduk, beliau berkata, lazimnya berkaitan infra untuk mengeluarkan hasil tani bagi sawit pisang dan durian dari kebun atau dusun penduduk.

Menurutnya, selain itu penduduk juga mengadu masalah penghasilan padi kerana air atau kelewatan baja dan racun ulat subsidi daripada kerajaan dan potongan hasil padi.

Katanya, keadaan jalan ladang yang rosak, sempit atau tidak diselenggara dengan baik menyukarkan petani membawa hasil tanaman ke pusat pengumpulan dan pasaran.

Masalah itu, katanya, bukan sahaja meningkatkan kos pengangkutan, malah boleh menyebabkan kerosakan pada hasil pertanian serta menjejaskan pendapatan petani.

“Petani juga berdepan dengan masalah dalam pengeluaran padi, khususnya yang melibatkan bekalan air yang tidak mencukupi atau tidak sampai pada waktu diperlukan.

“Selain itu, kelewatan penyaluran baja dan racun ulat bersubsidi oleh kerajaan turut menjejaskan proses penanaman dan kawalan perosak. Keadaan ini boleh menyebabkan hasil padi berkurangan serta meningkatkan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh petani,” katanya.

SUMBER AIR BERSIH

Mengenai keperluan asas yang diperlukan penduduk, Zafarulazhan berkata, secara keseluruhannya masyarakat setempat amat memerlukan sumber bekalan air bersih yang mencukupi bagi memenuhi keperluan harian.

Beliau berkata, isu bekalan air merupakan antara perkara yang paling kerap dibangkitkan penduduk ketika sesi pertemuan dan program bersama masyarakat di kawasan berkenaan.

“Masih terdapat beberapa kawasan berdepan masalah bekalan air bersih yang tidak sampai ke rumah penduduk, khususnya di kawasan yang terletak jauh dari sistem agihan utama.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian seperti memasak, membasuh dan membersihkan rumah,” ujarnya.

Selain itu, katanya, terdapat juga kawasan yang menerima bekalan air pada kadar yang terlalu perlahan sehingga menyukarkan penduduk menjalankan aktiviti harian.

“Masalah tekanan air yang rendah bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah memberi kesan kepada premis perniagaan kecil dan aktiviti pertanian yang memerlukan bekalan air mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian serius terhadap isu tersebut dengan melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem bekalan dan agihan air di kawasan terlibat.

“Selain itu, saya juga berdepan dengan kekangan peruntukan untuk membawa pembangunan lebih besar kepada penduduk,” katanya.

Katanya, walaupun ini adalah penggal pertamanya sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa berusaha mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka melalui pelbagai program turun padang serta sesi pertemuan bersama komuniti.

“Pendekatan sedemikian membolehkan saya mengenal pasti masalah sebenar penduduk dan mencari jalan penyelesaian bersesuaian.

“Hubungan baik yang terjalin antara beliau dan penduduk membuktikan bahawa usaha berterusan untuk membantu masyarakat mula membuahkan hasil.

“Saya bertekad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta memastikan setiap aduan penduduk diberi perhatian sewajarnya demi kesejahteraan kawasan yang diwakilinya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN