Infak 200 roti john mini setiap hari

Infak 200 roti john mini setiap hari

GERAI program infak roti john percuma di Stesen Minyak Petron di Peringgit, Melaka beroperasi setiap hari kecuali Khamis. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketika ramai memperkatakan harga roti john semakin mahal, sekumpulan anak muda di negeri ini mencari kelainan dengan mengadakan program infak juadah itu secara percuma.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Raja Cendol Taming Sari, Muhammad Ariff Qayyum Mohd. Zamri, 29, berkata, ia bertujuan untuk mengisi masa lapang kakitangannya susulan perniagaan cendol sedikit perlahan pada bulan puasa.

MUHAMMAD ARIFF QAYYUM Mohd. Zamri (dua dari kiri) bersama kakitangan Raja Cendol Taming Sari secara sukarela mengendalikan gerai program infak roti john percuma di Stesen Minyak Petron di Peringgit, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Menurutnya, idea infak tersebut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang turut sama menyumbang modal antaranya Stesen Minyak Petron Peringgit dan Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

“Program ini boleh dikatakan usaha sama daripada banyak pihak termasuk orang ramai. Mereka yang mahu turut serta boleh meletakkan sumbangan seikhlas hati ke dalam tabung yang disediakan di hadapan gerai.

“Wang yang dikumpulkan akan dijadikan modal pusingan harian untuk membeli bahan mentah seperti sayur, daging, telur dan roti. Sebanyak 200 roti john bersaiz kecil disediakan setiap hari dan diberi kepada sesiapa sahaja yang datang tanpa mengira kaum.

“Ini adalah satu cara kita untuk menunjukkan keindahan agama Islam kepada bangsa lain. Selain itu, kebaikan bersedekah ini bukan sahaja untuk kami, tetapi juga kepada para penderma yang memberi sumbangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Muhammad Ariff Qayyum, gerai yang terletak di laluan keluar Stesen Minyak Petron Peringgit dibuka pada pukul 4 hingga 6.30 petang setiap hari kecuali Khamis.

Bagaimanapun katanya, gerai akan ditutup lebih awal setelah selesai mengagihkan roti john kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak mula beroperasi pada 24 Mac lalu.

“Paling cepat kami tutup gerai pada pukul 5.30 petang. Agihan selesai lebih awal kerana ada yang datang akan mengambil lebih daripada satu roti john, biasanya dua atau tiga.

“Kami berharap program ini dapat diteruskan sehingga akhir Ramadan, namun semuanya bergantung kepada jumlah sumbangan daripada penderma,” ujarnya.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya