Ibu bersama lima anak bersyukur terselamat nahas

Ibu bersama lima anak bersyukur terselamat nahas

KEADAAN dua daripada lima buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Kampung Selamat, Sungai Tong, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang ibu dan lima orang anaknya termasuk bayi berusia dua bulan merupakan antara 16 orang mangsa yang cedera dalam kemalangan maut melibatkan lima buah kereta di Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini, petang semalam.

Ibu terbabit, Azima Chik, 38, bersama anak-anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Dungun selepas menghantar seorang lagi anak sulungnya ke Sekolah Menengah Sains Setiu di sini.

Menurutnya, ketika kemalangan berlaku, dia hanya memikirkan keadaan anak-anak terutama bayi lelaki berusia dua bulan dan bersyukur apabila semua selamat.

Menurutnya, dia terlanggar kereta Perodua Axia yang berada di depan bagi mengelak impak lebih buruk selepas mendapati sebuah lori memasuki laluan bertentangan.

“Saya nampak sebuah lori dari arah bertentangan tiba-tiba masuk ke laluan kami dan bertembung dengan Proton Exora yang berada selang dua buah hadapan.

“Saya tidak boleh mengelak ke kanan jalan kerana pasti bertembung dengan kenderaan lain manakala sebelah kiri jalan agak curam, jadi saya menekan brek dan terlanggar Perodua Axia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 1 petang itu, pasangan suami isteri, Faizul Azman Awang, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelaki mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, pula cedera parah.

Antara kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori, kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dan Perodua Axia serta Proton Exora yang dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu

Sementara itu, suami Azima, Mohd. Hanapi Ali, 46, pula berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan isteri dan anak-anaknya terlibat dalam kemalangan tersebut dan bimbang terhadap keselamatan mereka.

Menurutnya, dia tidak dapat menemani isterinya itu menghantar anak sulung mereka ke sekolah tersebut kerana masalah kesihatan.

“Ketika itu isteri sudah dalam perjalanan balik ke rumah kami di Kampung Sura Tengah, Dungun sebelum dia beritahu terlibat dalam kemalangan melalui panggilan telefon.

“Saya yang masih demam panas sejak dua hari lalu mengajak dua orang rakan untuk menemani saya ke Sungai Tong, Setiu dan sebaik sahaja tiba, saya bersyukur keluarga saya terselamat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN