Hospital Cyberjaya jadi hospital rujukan sebarang kes bencana

Hospital Cyberjaya jadi hospital rujukan sebarang kes bencana

SULTAN Sharafuddin Idris Shah mencemar duli melawat Jabatan Radiologi di Hospital Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kedudukan strategik Hospital Cyberjaya berpotensi dijadikan sebagai hospital respon utama untuk apa-apa bencana di pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini kerana ia berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) dan KLIA Terminal 2 selain arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan Silicon Valley Cyberjaya dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut.

“Sejajar dengan usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan negara, pembinaan Hospital Cyberjaya ini adalah bertujuan mengurangkan kadar penggunaan katil hospital-hospital di Lembah Klang yang tinggi.

“Pada masa ini, kadar penggunaan katil di hospital-hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang adalah melebihi 90 peratus sementara BOR melebihi 80 peratus bagi Hospital Serdang dan Hospital Ampang,” katanya.

Teks ucapan Zaliha itu dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada Majlis Perasmian Hospital Cyberjaya hari ini yang diperkenan rasmi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas beliau, terdapat isu prosedur pembedahan tertunggak di mana 85.1 peratus daripada kes tertunggak di sekitar Lembah Klang bertumpu di hospital-hospital awam sekitar Cyberjaya.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan hospital kluster antara Hospital Cyberjaya dengan Hospital Selangor Selatan (Kajang, Serdang dan Ampang) dapat memperkukuhkan perkongsian sumber serta perkhidmatan kepakaran untuk jangka masa panjang.

Tambahnya lagi, menerusi pembinaan Hospital Cyberjaya dan kerjasama fasiliti kesihatan lain, pelbagai program berkaitan kesihatan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh seperti perluasan aktiviti saringan kesihatan.

Ini seperti pelaksanaan program imunisasi kepada golongan wanita dan kanak-kanak, aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit dan aktiviti perawatan perubatan kepada pesakit di daerah Sepang.

“Bagi mempertingkatkan dan memperluaskan perkhidmatan primer kepada penduduk setempat, Klinik Kesihatan Cyberjaya juga dibangunkan di dalam kawasan hospital dengan menukar ganti bangunan asrama jururawat untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak bagi masyarakat setempat.

“Ia sekaligus mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Dengkil yang terletak 22 kilometer daripada fasiliti ini,” katanya.

Pada masa sama, Zaliha berkata, KKM sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin MRI untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan perkhidmatan psikiatri di Hospital Cyberjaya dalam masa terdekat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.