PETALING JAYA: Hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.
Kemerosotan berpunca daripada lima masalah utama yang menghantui para pesawah di Kedah dan Perlis terutama kelewatan penghantaran benih padi dan penghantaran baja yang tidak ikut jadual penanaman.
Selain itu, masalah infrastruktur seperti tali air tersumbat dan tanah jerlus serta isu orang tengah yang menindas petani turut menyumbang kepada kemerosotan tersebut.
MADA turut mengakui pengeluaran padi di kawasan Jelapang Padi negara itu tidak optimum dan tidak konsisten.
Pada 2022 pengeluaran padi MADA berjumlah 852,477 tan metrik sementara pada 2021, pengeluarannya adalah 843,947 tan metrik. Sedangkan, pada 2018 jumlah pengeluarannya mencecah 1,028,867 tan metrik.
Agensi itu menguruskan 130,282 hektar sawah dengan 100,685 hektar adalah kawasan pasel atau petak padi yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi negara.
Setakat ini, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang merupakan pengimport tunggal beras negara sejak 1990-an, membawa masuk hingga 800,000 tan beras setahun dengan majoritinya ialah beras putih dan bakinya beras khusus yang sukar ditanam di negara ini seperti basmati.
Pada 22 Julai 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, pengeluaran padi dan beras negara semasa mampu menampung 70 peratus keperluan domestik dengan bakinya diimport antaranya dari Vietnam, Thailand, India dan Pakistan.
Ketika ini, keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah sebanyak 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70 peratus dan baki 30 peratus bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zin berkata, masalah itu memberi impak buruk yang menjejaskan pendapatan 57,635 pesawah di kawasan terlibat.
Dedahnya, masalah pertama dalam sektor padi di kawasan itu berpunca akibat kelewatan bekalan Benih Padi Sah (BPS) yang lewat hampir 50 peratus daripada jadual musim tanaman padi.
“Selain itu, kualiti benih padi tidak terjamin dan dipertikaikan akibat terdapat padi angin. Ini akhirnya menjejaskan penanaman kerana peratus tumbuh atau cambah di bawah 90 peratus,” katanya.
Malah dalam soal benih padi juga, Che Ani menegaskan, ada ladang benih gagal mematuhi syarat-syarat tanaman benih.
“Antaranya tidak boleh ditabur terus tetapi perlu ditanam bagi tujuan benih. Ini mengakibatkan terdapat pembekal benih mengambil benih padi dari kawasan tanaman padi biasa.
“Malah, terdapat pembekal BPS mengedar dan melantik penjual serta peruncit sendiri yang mendorong kegiatan monopoli dan berlaku unsur sabotaj untuk menaikkan harga,” jelasnya.
BAJA DAN PERMAINAN ORANG TENGAH
Masalah kedua, katanya, membabitkan isu bekalan baja yang didakwa pengedarannya tidak menepati jadual malah sering berlaku kelewatan penghantaran baja.
“Masalah ini berulang-ulang sejak empat musim penanaman lalu. Pembajaan perlu mengikut umur padi, kelewatan menyebabkan pokok padi terencat. Terdapat kes baja padi dihantar setelah padi dituai. Ini mengakibatkan sebahagian petani terpaksa membeli baja sendiri yang menyebabkan hasil berkurangan,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ani berkata, permainan orang tengah terutama pusat belian serta kilang padi menindas para pesawah di kawasan MADA.
“Dalam soal pasaran peratus, kebanyakan pusat belian kilang padi mengenakan potongan 20 peratus bagi setiap musim iaitu musim tuaian satu dan dua.
“Ini tidak memberi manfaat kepada pesawah walaupun harga padi dan subsidi dinaikkan. Sekiranya kadar potongan dinaikkan, yang untung adalah orang tengah serta kilang-kilang padi dan bukannya pesawah,” katanya.
Menurutnya lagi, ada juga kes apabila berlaku penipuan alat timbangan di kilang-kilang padi yang menindas pesawah.
“Kebiasannya pihak pengilang beras memberi komisen sebanyak RM40 bagi satu tan metrik padi kepada pemilik lori. Sedangkan, pemilik lori mengenakan tambang ke atas petani antara RM25 sehingga RM30 bagi servis penghantar padinya,” katanya.

INFRASTRUKTUR
Mengulas lanjut, Che Ani berkata, isu infrastruktur kawasan padi di bawah MADA sangat kritikal dan perlu diberi perhatian serius kerajaan, termasuk lebih 50 peratus tali air dan parit dipenuhi semak-samun sehingga menyekat air semasa proses menaikkan dan membuang air sawah bendang.
“Keadaan jalan ladang juga jadi masalah besar kerana berlopak-lopak, susah untuk petani mengangkut hasil padi.
Malah katanya, lebih 25 peratus kawasan MADA menghadapi masalah tanah jerlus.
“Ini mengakibatkan ada sebahagian petani tidak dapat mengusahakan tanaman padi pada musim ini kerana kesukaran membajak dan menuai.
“Ini berpunca akibat perubahan cuaca, apabila hujan melebihi paras tahun-tahun yang lepas, selain tiada musim kemarau sepanjang 2021 dan 2022. Akibatnya air dalam sawah tidak kering,” katanya.
Sementara itu, dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, MADA memaklumkan, dalam tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 2022, didapati berlaku keadaan turun dan naik jumlah pengeluaran padi di kawasan lembaga itu.
“Jumlah pengeluaran pada tahun-tahun terkini bukanlah situasi optimum yang boleh dicapai oleh MADA, memandangkan jumlah yang lebih tinggi pernah dicapai pada tahun-tahun sebelum (pengeluaran melebihi satu juta tan metrik iaitu pada tahun 2014, 2016 dan 2018). Bagaimanapun, MADA terus komited untuk mengoptimumkan pengeluaran padi dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










