ALOR SETAR: Bergantung kepada satu-satunya pengangkutan yang ‘mesra poket’ untuk berulang-alik dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis menjadikan penumpang tiada pilihan selain mendapatkan perkhidmatan feri yang lebih teratur ketika ini.
Malah, rata-rata pengguna menyatakan mereka terpaksa akur dengan trip perjalanan yang terhad termasuk jadual pelayaran yang dibatalkan walaupun setelah membeli tiket feri untuk berurusan di tanah besar.
Seorang pengguna, Mohd. Qaiyum Razali, 37, berkata, meskipun dihidangkan dengan laporan mengenai perkhidmatan feri yang sering terkandas di tengah laut atau tersadai akibat air surut, dia tetap menggunakan perkhidmatan itu setiap bulan.
“Setiap bulan saya akan menaiki feri untuk pulang ke kampung halaman di Pendang pada hujung minggu, apabila tiada trip perjalanan awal pagi ia sudah merugikan cuti saya hari itu kerana kadang-kala perlu naik feri pada tengah hari dan pulang semula keesokan harinya.
“Berbanding awal-awal saya bermastautin di Langkawi kira-kira 15 tahun lalu, perkhidmatan feri ke sana amat baik dan berpatutan dengan harga, namun kebelakangan ini perkhidmatannya sering bermasalah dan sering dipertikai pelbagai pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan perlu mengambil langkah drastik memecah ‘monopoli’ perkhidmatan feri Pulau Langkawi dengan memudahkan lebih banyak syarikat menawarkan perkhidmatan mereka seperti perkhidmatan bas ekspres.
Ini berikutan langkah beberapa syarikat pengendali feri yang membentuk konsortium ketika ini dilihat tidak memberi kelebihan atau keselesaan kepada rakyat terutama pengguna yang sering berulang-alik ke pulau pelancongan itu.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak lagi dapat menjenguk isteri dan anak-anak pada setiap minggu seperti dilakukan sebelum ini kerana masalah perjalanan feri.
“Dahulu saya habis kerja pada setiap hari Khamis, sempat naik feri terakhir pada hari itu untuk pulang ke Pulau Pinang, tetapi kini tidak lagi dapat melakukannya setiap minggu kerana ada kala feri terakhir hanya pada pukul 4 atau 5 petang.
“Saya harap sangat jika wujud persaingan sihat dalam penyediaan perkhidmatan feri kepada warga Langkawi dan orang ramai dapat mengatasi isu-isu yang membelenggu kami selama ini. Dahulu boleh dikatakan setiap jam ada feri dan tidak dibatalkan walaupun tidak ramai yang naik pada waktu itu,” katanya.-utusan










