HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memerintahkan pelakon, Hafidz Roshdi menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian psikiatri.
Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret pada prosiding hari ini mengarahkan sedemikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Mahkamah mengarahkan agar Hafidz mula menjalani rawatan dan pemeriksaan bermula 28 Mac ini.
Sementara itu, Hafidz dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon agar pelakon drama Tundukkan Playboy itu dihantar untuk pemeriksaan mental.
“Berdasarkan siasatan awal, didapati tertuduh ada mendapatkan rawatan psikiatri,” kata pendakwa raya itu.
Penyakit mental tersebut turut diakui peguam belanya, Datuk Akberdin Abdul Kader.
“Anak guam saya mempunyai ‘bipolar’ tetapi tidak serius seperti skizofernia,” katanya.
Pada awal prosiding, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak pada pukul 3.22 pagi, 2 Mac lalu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323 tersebut.
Kes akan disebut semula pada 9 Jun ini. – UTUSAN










