MA jalin kerjasama dengan Dirigo

MA jalin kerjasama dengan Dirigo

Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh melakukan gimik memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) mengorak langkah lebih agresif dalam memperkukuh skuad maraton negara apabila menjalin kerjasama strategik dengan Dirigo Events dengan menjadikan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) sebagai kejohanan saringan awal bagi pemilihan atlet ke Sukan SEA 2027.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh bersama Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MOM, Fong Wan Hor, dan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Zaim Yusof.

Wan Hisham berkata, pendekatan baharu itu memberi ruang kepada atlet maraton negara membuat persiapan lebih awal dan tersusun menjelang temasya dwitahunan itu yang bakal berlangsung di Malaysia pada 2027.

“Malaysia memiliki ramai pelari maraton berbakat yang mampu diketengahkan. Melalui laluan pembangunan yang lebih sistematik, kita bukan sahaja mahu meningkatkan prestasi atlet sedia ada, malah berharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu.

“Kita juga mahu memastikan atlet mempunyai hala tuju yang jelas sepanjang musim latihan supaya mereka dapat mencapai prestasi terbaik ketika mewakili negara,” katanya.

Menurut beliau, MA turut berhasrat memperluaskan penyertaan pelari maraton negara di pentas antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing atlet Malaysia.

Sementara itu, Biemans menyifatkan pemilihan KLSCM sebagai kejohanan saringan rasmi merupakan satu pengiktirafan besar terhadap penganjuran acara berstatus dunia itu.

“Kami berbesar hati kerana KLSCM dipilih sebagai platform saringan awal ke Sukan SEA 2027. Ia selari dengan misi kami untuk meningkatkan standard larian jarak jauh di Malaysia serta menyediakan pentas bertaraf dunia kepada pelari tempatan.

“Kami juga teruja dapat bekerjasama rapat dengan MA dalam membangunkan ekosistem sukan larian yang lebih mampan demi kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027,” katanya.

KLSCM merupakan satu-satunya perlumbaan jalan raya di Malaysia yang memiliki status World Athletics Elite Label, dengan edisi 2026 dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Oktober depan serta dijangka menghimpunkan pelari dari lebih 70 negara.

Menerusi kerjasama itu, MA dan Dirigo Events akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menyediakan program pembangunan atlet yang lebih tersusun, pendedahan pertandingan di peringkat serantau dan antarabangsa, akses kepada kemudahan serta sokongan sains sukan Institut Sukan Negara (ISN), selain kerjasama dalam aspek kejurulatihan.

Kedua-dua pihak dijangka mengadakan pertemuan susulan dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan program yang dirancang menjelang Sukan SEA 2027.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN