Wan Hisham pangku tugas Karim

Wan Hisham pangku tugas Karim

TIMBALAN Presiden Olahraga Malaysia (MA), Wan Hisham Wan Salleh (kiri) akan emimpin badan induk itu hingga Jun.-IHSAN FB MA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim membuat keputusan untuk berehat daripada memimpin badan induk itu berkuatkuasa 7 Mei sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan diadakan pada Jun ini.

Karim berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan perubahan terhadap perlembagaan MA dapat dilakukan pada AGM bulan depan selari dengan perlembagaan Olahraga Dunia (WA).

Perubahan perlembagaan MA perlu dihantar kepada WA sebelum diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).

“Ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Namun begitu, saya percaya bahawa ini adalah langkah yang tepat dan bertanggungjawab pada masa ini.

“Keutamaan saya sentiasa adalah untuk memastikan kestabilan persatuan, menegakkan tadbir urus yang baik serta menjamin kesinambungan usaha kita. Masa keputusan ini dibuat adalah selaras dengan proses penyelarasan perlembagaan kita dengan Perlembagaan WA.

“Perkara ini amat penting bagi kredibiliti dan kedudukan MA di peringkat antarabangsa dan ia perlu dilaksanakan dengan sempurna melalui proses AGM,” katanya.

Terdahulu, status jawatan presiden disandang oleh Karim hangat diperkatakan susulan penggantungan yang dikenakan ke atasnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Namun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.

Mengulas lanjut, Karim berkata, sepanjang tempoh beliau bercuti tanggungjawabnya akan dipangku oleh Timbalan Presiden MA, Wan Hisham Wan Salleh.

“Selaras dengan perlembagaan kita, Timbalan Presiden, Datuk Wan Hisham akan memangku tugas saya sepanjang tempoh ini. Bagi memastikan kesinambungan, Profesor Rusli Abdullah akan mengambil alih tanggungjawab timbalan presiden secara sementara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN