PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) menegaskan badan induk itu tidak menyorok sebarang dokumen daripada Olahraga Dunia (WA) berhubung status presidennya, Datuk Karim Ibrahim.
Penjelasan itu dibuat susulan timbul dakwaan kononnya terdapat dokumen berkaitan komunikasi antara badan olahraga negara dan dunia itu yang tidak didedahkan kepada ahli majlis.
Karim berkata, semua tindakan yang diambil pihak persatuan dilakukan mengikut prosedur pentadbiran dan polisi yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan dimaklumkan kepada ahli majlis.
“Satu perkara yang saya mahu jelaskan di sini, tiada sesiapa pun di sini menyembunyikan apa-apa dokumen. Tolong ya. Perkara pertama sekali kita mesti kena faham mengenai perkara yang melibatkan polisi dan pentadbiran.
“Kita mengambil langkah apa yang patut untuk membalas kepada WA namun kita tak boleh buat dengan segera.
“Ia telah dilakukan oleh presiden, timbalan presiden, peguam dan pentadbiran dan apabila tiba di fasa akhir, pemberitahuan kepada ahli majlis perlu dilakukan. Jadi, tiada sesiapa yang menyorokkan apa-apa dokumen,” katanya.
Terdahulu, terdapat laporan mengenai sepucuk surat dihantar oleh WA kepada MA sebelum ini yang inginkan penjelasan status jawatan presiden disandang oleh Karim susulan penggantungan yang dikenakan ke atasnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Namun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.
Semalam, Karim mengesahkan beliau bercuti daripada menerajui badan induk itu berkuat kuasa semalam sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan Jun ini. Keputusan itu dibuat bagi membolehkan perlembagaan MA dipinda selaras dengan perlembagaan WA.
Sepanjang tempoh itu, tugas Karim akan dipangku oleh Timbalan Presiden MA Datuk Wan Hisham Wan Salleh. – UTUSAN











