LARUT: Lebih 300 penduduk Kampung Batu 6, Bukit Bertam Selama di sini membantah cadangan pembinaan ladang ternakan ayam berhampiran kampung mereka yang berisiko menyebabkan pencemaran dan gangguan lalat yang boleh menjejaskan kesihatan.
Wakil penduduk, Bahayah Wan Ali, 64, berkata, pembinaan projek itu tidak dimaklumkan kepada mereka pada peringkat awal dan hanya diketahui selepas kerja-kerja pembersihan kawasan dan penebangan pokok sawit yang dilakukan tahun lalu.
Dia mendakwa semakan yang dilakukan penduduk mendapati jarak antara tapak projek dengan rumah terdekat hanya sekitar 183 hingga 194 meter.
Katanya, jarak itu jauh lebih rendah daripada garis panduan 300 meter yang ditetapkan bagi projek ladang ternakan ayam sistem tertutup.
“Kami hanya mengetahui projek ini selepas kerja-kerja di tapak bermula. Apabila disemak, jaraknya terlalu dekat dengan rumah dan tanah saya serta rumah penduduk, ini tidak menepati garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita bersama lebih 50 penduduk yang mengadakan bantahan secara aman di tapak ladang ternakan ayam di Kampung Batu 6, Bukit Bertam di sini hari ini.
Seorang penduduk, Ramli Ahmad, 65, berkata, projek berkenaan telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada Mac 2025 sebelum sebarang sesi libat urus menyeluruh diadakan dengan penduduk.
Katanya, bantahan rasmi telah dikemukakan pada Julai tahun lalu kepada pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, wakil rakyat serta agensi berkaitan.
“Namun hanya satu sesi perbincangan diadakan selepas itu melibatkan tiga wakil penduduk sahaja. Kami membantah kerana lokasi terlalu hampir dengan rumah kami. Kami juga tidak dilibatkan sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zurani Alias, 56, berkata, kebimbangan utama penduduk adalah risiko pencemaran bau, penyakit serta gangguan lalat yang dikhuatiri akan kembali serius sekiranya projek itu diteruskan.
Katanya, penduduk hanya menyedari projek tersebut selepas kerja-kerja pembersihan tanah dimulakan, selain hasil semakan menunjukkan jarak projek tidak menepati garis panduan minimum yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kami bukan menolak pembangunan ekonomi, tetapi lokasi projek ini terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan serta kehidupan penduduk,” katanya. – UTUSAN










