Guna duit poket sendiri untuk PdP

Guna duit poket sendiri untuk PdP

Guru panitia terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ekoran peruntukan bantuan geran perkapita mata pelajaran dikurangkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peruntukan kepada ketua-ketua panitia sekolah yang dikurangkan antara 20 hingga 30 peratus memberi bebanan tambahan kepada guru di negeri ini.

Ketika ini, kebanyakan guru yang menjadi ketua panitia di negeri ini terpaksa menggunakan duit poket sendiri bagi menyediakan kemudahan pembelajaran kepada murid di sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Mohd. Kifflee Alli berkata, guru-guru di Sabah faham Kementerian Pendidikan berhadapan dengan kekangan peruntukan kerana perlu memberi tumpuan kepada aspek lain yang lebih mendesak.

Namun katanya, isu kekurangan peruntukan untuk ketua-ketua panitia sekolah dalam menyediakan kemudahan pembelajaran telah berlanjutan agak lama.

“Jemu sudah untuk kita bercakap tentang isu ini. Walaupun ada peruntukan diberikan, peruntukannya semakin kecil hingga mendatangkan kesukaran untuk menyediakan kemudahan pembelajaran.

“Beberapa tahun lalu peruntukan agak baik tetapi, sejak kebelakangan ini memang ada keperluan mendesak untuk peruntukan itu dinaikkan seiring dengan kehendak semasa,” katanya.

Menurut beliau, peruntukan yang semakin mengecil tidak dapat memenuhi keperluan semasa yang memerlukan lebih banyak bahan tambahan mengajar disediakan.

Keadaan itu katanya, akan memberi impak kepada pembelajaran murid di sekolah kerana kegagalan ketua panitia untuk menyediakan kemudahan pembelajaran yang diperlukan.

Sekiranya ketua panitia perlu menggunakan duit poket sendiri maka, sukar untuk sesebuah sekolah itu mencapai apa yang disasarkan oleh kementerian.

Justeru katanya, masalah peruntukan yang semakin kecil untuk ketua-ketua panitia ini perlu diteliti semula sebelum ia menjejaskan prestasi pembelajaran murid sekolah.

Mohd. Kifflee berkata, isu peruntukan ketua panitia itu bukan hanya disuarakan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) malah, telah diutarakan kepada kementerian.

“Sebagai penjawat awam kita faham situasi semasa, jadi kita berharap keadaan ekonomi akan menjadi lebih baik agar peruntukan kepada ketua-ketua panitia ini boleh dipulihkan serta ditambah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN