Gangster bertatu, jenayah terancang serang Kamal Adli?

Gangster bertatu, jenayah terancang serang Kamal Adli?

COTA besi yang digunakan suspek semasa menyerang Kamal Adli di tapak sebuah ekspo di Singapura.-SPF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis di Republik Singapura menasihatkan pelakon, Uqasha Senrose kekal berada di negara itu sehingga siasatan berhubung kes serangan terhadap suaminya, Kamal Adli selesai.

Uqasha berkata, arahan itu juga bagi menjamin keselamatan dirinya disebabkan motif serangan oleh suspek berusia 33 tahun belum diketahui lagi.

“Saya dapat arahan daripada pihak polis supaya tidak ke mana-mana sampai siasatan selesai. Ahli keluarga lain juga tidak boleh tahu lokasi keberadaan saya sebab arahan polis dan pihak kedutaan Malaysia di negara ini.

“Susah juga bagi saya sebab masih ada kerja di Kuala Lumpur,” katanya menerusi sesi live di Tiktok, pukul 1 pagi tadi.

Dalam pada itu, Uqasha turut berkongsi identiti penyerang yang dikatakan berkulit cerah, mempunyai tatu di seluruh badan serta ahli gangster yang melakukan kerja secara berkumpulan.

Walaupun penyerang sudah diberkas, namun timbul kerisauan di hati Uqasha kerana suspek mempunyai konco lain di luar yang didakwa berdendam dengan ahli keluarganya.

“Saya percaya individu yang buat kerja ini lebih dua orang dan merupakan serangan terancang. Seorang tunggu di kereta, seorang lagi memantau dan seorang lagi datang menyerang.

“Saya jadi risau nak keluar ke mana-mana sekarang. Saya nak jumpa ibu, adik dan kakak sebab rasa takut di sini. Si pelaku ini buat kerja bukan seorang diri tetapi ada konco-konco yang lain.

“Sebabnya dia ugut ‘kau tunggu, kau siap, siap ada kerabit, pisau lipat, cota besi. Kamal terutamanya bahaya sebab tak boleh tunjuk muka pada sesiapa,” kongsinya.

Bintang drama bersiri Isteri Halal itu berkata, dia rungsing memikirkan insiden tersebut kerana suaminya tidak pernah mempunyai musuh selama ini.

Malah, dirinya juga tidak pernah menayangkan kebahagiaan mereka sebagai pasangan suami isteri di media sosial.

“Saya tak pernah tayang bahagia di media sosial, kami selalu promosi drama sahaja. Tak tahu apa motif dia. Saya rasa dunia dah tak selamat lagi di akhir zaman ini,” luahnya.

Uqasha juga memohon rakyat Malaysia dan Singapura tidak bertelagah sesama sendiri disebabkan insiden serangan terhadap suaminya di tapak karnival Hari Raya Mega Sale 2023 di republik itu, kelmarin.

Jelasnya, orang ramai tidak sepatutnya menjadikan insiden yang berlaku sebagai titik permulaan untuk bermusuhan antara dua negara.

Kelmarin, Kamal diserang individu tidak dikenali berusia 33 tahun ketika sedang bergambar bersama peminat.

Penjenayah yang melakukan serangan dengan cota besi sudah diberkas selepas orang ramai menahan individu tersebut.

Kongsi Uqasha kepada Utusan Malaysia, Kamal dipukul di bahagian kepala bertubi-tubi dan penjenayah tersebut turut mengugut untuk mencederakan pelakon itu serta adik-beradiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×