Bersatu runding dengan PH?

Bersatu runding dengan PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini mencari hala tuju dan jajaran politik baharu termasuk kemungkinan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas kedudukannya dalam Perikatan Nasio­nal (PN) dilihat semakin tersisih

Menurut sumber pimpinan Bersatu, perkara itu dikatakan mendapat ‘restu’ daripada daripada pimpinan tertinggi parti malah cadangan jajaran itu juga di bawah pengetahuan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Jelas sumber, rundingan tersebut dimulakan di Selangor di mana ia akan menjadi negeri pertama bagi menjayakan kerjasama berkenaan.

“Beberapa kali rundingan telah dibuat dengan pihak PH dan semuanya berjalan lancar sehingga hari ini. 

“Semua pimpinan parti termasuk DAP menerima baik jajaran baharu yang ingin dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejak bulan lalu, spekulasi Bersatu akan bekerjasama dengan PH terutama di Selangor semakin kuat didengari susulan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menyatakan kesediaan parti itu untuk bersama kerajaan negeri.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari juga pernah menyatakan terbuka kepada kemungkinan bekerjasama dengan parti lain termasuk Bersatu sambil mengingatkan bahawa landskap politik Malaysia sebelum ini turut menyaksikan perubahan kerjasama antara UMNO, Bersatu dan Pas.

Dalam pada itu, perkembangan berkenaan turut dikaitkan dengan rundingan membabitkan beberapa pemimpin utama termasuk Mohamed Azmin dan Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Muhammad Hilman Idham dengan Amirudin.

Katanya, minggu ini dikatakan menjadi tempoh penting bagi rundingan berkenaan sebelum hala tuju Bersatu dijangka dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Malam ini ada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu, jadi dijangka ada perkembangan mengenai hala tuju Bersatu dan ia akan dimulakan di Selangor,” katanya.

Bagaimanapun secara jelas sumber menegaskan, tiada pengesahan secara rasmi mengenai kerjasama antara Bersatu dan PH. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×