KUALA LUMPUR: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap kerajaan perpaduan yang berteraskan konsep ‘Malaysia Madani’ tidak endah mahupun prihatin terhadap nasib rakyat dalam negara ini termasuk melibatkan dalam isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengeluaran itu sepatutnya dilaksanakan secara bersasar.
“Bila rakyat susah perlukan wang dari simpanan mereka (KWSP), boleh pula Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri syarat jadikan simpanan itu sebagai cagaran kepada bank.
“Kerajaan apa ini? Mana makna Madani yang dilaung-laungkan Anwar selama ini?” soalnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Dewan Wawasan PGRM, di sini hari ini.
Katanya, ketika Perdana Menteri kelapan mengetuai negara, beliau tanpa sebarang birokrasi membenarkan pengeluaran KWSP.
“Ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) jadi kerajaan. Perdana Menteri (ketika itu). Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa fikir panjang, terus benarkan rakyat keluarkan duit simpanan dari KWSP,” jelasnya.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerjasama antara UMNO dan DAP adalah ‘pakatan tidak suci’.
“Pakatan tidak suci antara UMNO dan DAP merupakan satu pengkhianatan yang terbesar dalam sejarah politik Melayu dan disaluti hipokrasi politik yang pelik lagi jelik.
“Pakatan tidak suci in merupakan hasil kerja senyap-senyap Presiden UMNO sendiri bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) setelah sekian lama.
“Tatkala UMNO sedang meneroka kerjasama politik bersama PN, mereka juga pada masa yang sama berpakat-pakat dengan PH,” dakwanya. – UTUSAN










