PETALING JAYA: Keuntungan industri telekomunikasi dijangka bertambah baik pada suku kedua 2026 disokong faktor bermusim yang lebih menggalakkan, peningkatan pengewangan perkhidmatan mudah alih serta permintaan berterusan terhadap sambungan gentian optik.
Penganalisis CIMB Securities, Choong Chen Foong berkata, pelabur juga dijangka memberi tumpuan kepada semakan Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP) yang dijadual bermula September depan sebelum dimuktamadkan menjelang Disember 2026.
“Selain itu, proses pemindahan pegangan saham Digital Nasional Berhad (DNB) daripada Kementerian Kewangan kepada Maxis, CelcomDigi dan YTL Power dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.
“Selepas urus niaga itu selesai, syarikat telekomunikasi yang terlibat perlu mula mengiktiraf bahagian kerugian bersih DNB menerusi kaedah perakaunan ekuiti,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Beliau berkata, prestasi sektor telekomunikasi negara pada suku pertama tahun kewangan 2026 kekal memberangsangkan.
Menurutnya, ini apabila semua syarikat telekomunikasi di bawah liputan CIMB Securities mencatat pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) teras antara empat hingga 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Maxis mencatatkan prestasi paling kukuh dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang diliputi, manakala CelcomDigi Berhad (CDB) buat pertama kali berkongsi sasaran penjimatan kos penyata untung rugi (P&L) sebanyak RM465 juta bagi tahun kewangan 2026.
“Bagaimanapun, syarikat itu masih mengekalkan panduan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada kadar satu digit rendah bagi tahun kewangan semasa.
“DPS CDB bagi suku pertama menurun lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan berada di bawah jangkaan kami serta konsensus pasaran berikutan nisbah pembayaran dividennya yang lebih rendah iaitu 95 peratus berbanding 113 peratus pada suku pertama 2025.
“TM pula mengisytiharkan dividen sesaham (DPS) suku tahunan pertamanya sebanyak 6.5 sen dengan nisbah pembayaran dividen 78 peratus, selaras dengan dasar dividen yang telah disemak semula,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan penarafan saham dan harga sasaran bagi syarikat-syarikat di bawah liputannya serta terus memberikan penarafan “overweight” kepada sektor berkenaan dengan TM kekal sebagai pilihan utama.
Chen Foong berkata, pihaknya menjangkakan prestasi segmen prabayar akan terus bertambah baik dalam suku-suku akan datang berikutan sentimen persaingan yang lebih positif dalam industri.
Dalam perkembangan berkaitan, bahagian pasaran hasil mudah alih Maxis meningkat sedikit kepada 43.4 peratus pada suku pertama berbanding suku sebelumnya, manakala CDB mencatatkan penurunan kepada 56.6 peratus.
Sementara itu, hasil perkhidmatan tetap industri berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun pada suku dikaji, dipacu oleh pertumbuhan perniagaan TM dan CDB.
TM merekodkan pertumbuhan hasil perkhidmatan tetap sebanyak 2.9 peratus, manakala segmen sama bagi CDB melonjak 45.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.










