SHAH ALAM: Tiga nyawa terkorban dalam kejadian kemalangan berasingan membabitkan penunggang motosikal dalam tempoh 12 jam sejak malam semalam.
Dua daripadanya berlaku dekat Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam kira-kira pukul 10.23 malam dan 11 pagi semalam.
Sementara satu lagi insiden pada pukul 8.50 pagi berlaku di Jalan Meru Tambahan, ketika mangsa dalam perjalanan ke kawasan perbandaran baharu itu.
Kes pertama melibatkan seorang penunggang motosikal dipercayai pekerja p-hailing maut akibat dilanggar seorang pemandu kereta warga asing ketika sedang berhenti pada lampu merah dekat persimpangan lampu isyarat berhampiran kawasan pusat perniagaan Hillpark.
Mangsa ketika itu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam keadaan berhenti sebelum dilanggar oleh pemandu sedan jenis Nissan Almera dari arah belakang.
Lelaki berusia 29 tahun itu yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Puncak Alam dari tempat kerja, disahkan maut di tempat kejadian oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor.
Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital As Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk proses bedah siasat.
Bagaimanapun, ujian saringan urin terhadap pemandu itu pula didapati negatif daripada sebarang pengambilan alkohol atau dadah.
Kes kedua pula membabitkan seorang penunggang motosikal jenis Modenas Kriss yang disahkan maut dalam kejadian kemalangan dekat simpang empat lampu isyarat berhampiran pusat perniagaan Eco Grandeur.
Berdasarkan hantara tular dalam media sosial oleh seorang pengguna aplikasi Threads, ‘anysfrhnh_’ kemalangan terbabit berlaku pagi tadi di persimpangan Persiaran Mokhtar Dahari.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan kemalangan terbabit melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan lori.
Lebih menyedihkan, mangsa didakwa bakal melangsungkan pertunangan pada Sabtu ini dan dikatakan baru selesai melunaskan bayaran katering bagi majlis tersebut.
Kes ketiga juga melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang ditungganginya terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum tercampak sehingga dilanggar lori di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mangsa seorang lelaki berusia 21 tahun dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Puncak Alam disahkan maut di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.
Ketiga-tiga kes kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










