PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan perubahan besar dengan melantik barisan kepimpinan baharu bagi menerajui badan induk itu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, badan induk bola sepak negara tidak boleh lagi bergantung kepada muka lama keraga kegagalan telah terbukti.
Menurut Pekan, isu yang melanda FAM tidak wajar terus dipulihkan oleh kelompok kepimpinan yang sama kerana masalah tersebut telah berlarutan dalam tempoh yang panjang.
“Apa yang berlaku dalam FAM sebelum ini telah berlaku dalam tempoh yang lama jadi janganlah berhasrat untuk pulihkan semula. Elok angkat kaki sahaja.
“Ahli gabungan kena pilih pemimpin yang bersih, bagi peluang untuk mereka menerajui FAM. Biar muka baharu yang memimpin FAM, tidak mengapa kalau mereka tak ada pangkat ‘Datuk’ sekali pun sebab tak semestinya mereka tak boleh memimpin.
“Cuma, beri ruang dan masa yang adil kepada mereka ini untuk mengangkat semula imej FAM yang selama ini sudah tercemar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan laporan audit menyeluruh oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agungnya, Vahid Kardany pada Kongres Luar Biasa FAM, kelmarin.
Laporan audit itu mendedahkan wujudnya pelbagai kelemahan sistemik melibatkan aspek tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi di FAM.
Pekan turut menegaskan, reformasi kepimpinan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan FAM kembali diyakini serta mampu mengangkat martabat bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.
“Yang lain itu, cukup-cukuplah, kita tidak mahu orang main wayang. Konon-kononnya imej FAM hanya dia sahaja yang boleh pulihkan semula. Bagi peluang kepada muka baharu,” katanya.
FAM dijangka mengadakan kongres pemilihan badan induk itu pada September ini bagi mencari saf kepimpinan baharu.-UTUSAN










