Dua lagi kapal Malaysia tinggalkan Selat Hormuz

Dua lagi kapal Malaysia tinggalkan Selat Hormuz

IKMAL AZAM THANARAJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lagi kapal milik Malaysia yang sebelum ini dilapor terkandas di Selat Hormuz kini dilaporkan bergerak menuju ke destinasi ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, dua kapal tersebut iaitu Eagle Verona dan Eagle Veracruz adalah milik MISC Berhad serta AET Tankers dengan membawa bekalan mi­nyak mentah.

Katanya, dua kapal tangki minyak mentah itu berdaftar di Singapura adalah antara tujuh kapal yang dimohon kebenaran kerajaan Malaysia daripada Iran untuk melalui selat berkenaan, yang kebanyakannya ditutup sejak konflik tercetus pada akhir Februari sehingga mengganggu bekalan tenaga global.

“Eagle Verona sedang meneruskan pelayarannya ke Pe­labuhan Ningbo, China dengan kelajuan sekitar 10 knot selepas merentasi Laut Arab dengan selamat dan kini bergerak melalui perairan Asia Tenggara.

“Veracruz masih dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Quanzhou, China setelah berjaya melalui Laut Arab dan kawasan maritim be­risiko tinggi di sekitarnya tanpa sebarang insiden,” katanya semalam.

Menurutnya, kebenaran kapal Malaysia melepasi Selat Hormuz adalah hasil bantuan Jabatan Laut Malaysia dan Ke­tua Pengarahnya, Datuk Dickson Dollah.

“Selain itu, keputusan operasi syarikat teliti, pemantauan berterusan terhadap perkemba­ngan keselamatan serantau dan komitmen dalam melaksa­nakan langkah-langkah pengurusan ri­siko secara tidak langsung memastikan kedua-dua kapal dan anak kapal dapat merentasi Laut Arab dengan selamat bagi meneruskan perjalanan tanpa sebarang insiden,” jelasnya.

Antara kapal lain berkaitan Malaysia dan diberi kebenaran sebelum ini ialah kapal tangki minyak mentah gergasi berbendera Liberia, Serifos, yang keluar dari selat itu pada 10 April lalu.

Kapal tangki itu yang membawa minyak mentah dimuatkan dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu pada awal Mac memunggah kargonya di Pelabuhan Melaka pada 30 April.

Satu lagi kapal tangki, Ocean Thunder membawa minyak mentah Iraq dan disewa oleh unit Petronas melalui selat itu pada 5 April dan memunggah satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy di Pengerang pada 18 April.

Kapal ketiga, Mihzem, yang membawa gas asli cecair (LNG) dari Qatar dan diuruskan oleh unit MISC, melalui laluan per­airan itu pada Selasa, sekali gus menjadi kargo kedua seumpamanya melintasi kawasan tersebut di bawah pengaturan membabitkan Iran dan Pakis­tan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN