PETALING JAYA: BMW Motorrad Malaysia melancarkan BMW F 450 GS Baharu pada harga anggaran RM40,000 bagi memenuhi permintaan yang inginkan model lebih ringan dan mudah dikendalikan untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Model yang pertama kali dipertontonkan sebagai konsep pada pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024 itu kini memasuki fasa pengeluaran dan ditawarkan secara eksklusif dalam edisi Trophy.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, pelancaran model tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluaskan akses kepada pengalaman tunggangan GS kepada lebih ramai penunggang di negara ini.
Menurutnya, BMW F 450 GS Baharu bukan sekadar versi lebih kecil dalam keluarga GS, sebaliknya dibangunkan khusus bagi mengekalkan ciri utama yang sinonim dengan jenama itu seperti kelincahan, kepelbagaian dan keseronokan tunggangan.
“Legasi GS sentiasa berkisar tentang kebebasan untuk meneroka dan melangkaui batasan sama ada di jalan raya atau laluan lasak.
“Dengan BMW F 450 GS Baharu, kami membawa konsep tersebut kepada lebih ramai penunggang di Malaysia.
“Model ini menawarkan keseimbangan antara penggunaan harian, keselesaan perjalanan jauh dan keupayaan menempuh laluan mencabar dalam pakej yang lebih ringan serta mudah dikendalikan,” katanya dalam kenyataan
Beliau berkata, model berkenaan turut memenuhi trend permintaan terhadap motosikal yang lebih praktikal tanpa mengorbankan aspek kualiti, teknologi dan prestasi.
“BMW F 450 GS Baharu dilengkapi dengan teknologi BMW Easy Ride Clutch (ERC), iaitu sistem klac sentrifugal yang direka bagi memudahkan kawalan ketika memulakan perjalanan, menukar gear serta menunggang di laluan mencabar.
“Selain itu, penggunaan komponen berkualiti tinggi termasuk bahan magnesium membantu mengurangkan berat motosikal sekali gus meningkatkan prestasi dan kecekapan pengendalian,” katanya.
Model tersebut turut menawarkan karakter tunggangan yang dinamik dengan tahap kestabilan dan kawalan yang tinggi, menjadikannya sesuai untuk pelbagai keadaan jalan raya termasuk persekitaran bandar dan laluan pengembaraan.
BMW F 450 GS Baharu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan BMW Motorrad dalam segmen motosikal pengembaraan premium, yang terus menunjukkan permintaan memberangsangkan dalam kalangan penunggang tempatan. – UTUSAN










