Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad milik orang lain

Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad milik orang lain

ENAM warganegara Filipina termasuk seorang remaja didakwa atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain di Mahkamah Majistret, Sepang, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai enam warga Filipina termasuk seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara satu hingga enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain, minggu lalu.

Kesemua tertuduh, Sahara Jamil, 51; Husin Jailun, 48; Nur Aisah Isanul, 19; Ujirin Pandakan, 43; Mukmin Oskar, 29 serta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Ayuni Izzaty memerintahkan Sahara, Husin, Nur Aisah, Ujirin dan Mukmin dipenjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap pada Khamis lalu, manakala remaja terbabit dikenakan hukuman penjara sebulan.

Kelima-lima tertuduh juga diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Majistret turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tamat menjalani hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Gate J11, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, kira-kira pukul 1.30 petang, pada Khamis lalu.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.

Zulkarnain dan Nor Fadilah dalam penghujahannya, memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh masuk ke negara ini melalui saluran yang tidak sah dan tindakan itu memberi ancaman besar kepada negara.

Sabtu lalu, media melaporkan seramai sembilan individu termasuk lima pegawai penguatkuasa ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama JPN dalam Op Lancar kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di Sabah, pada Khamis lepas.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, lima penguatkuasa berkenaan termasuk dua pegawai wanita yang berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 41 tahun ditahan pada kira-kira 2.30 petang hingga 8.40 malam.

Menurut SPRM, empat lagi suspek yang dipercayai ejen pendatang tanpa izin dari negara jiran terdiri daripada tiga wanita tempatan dan seorang lelaki, berusia antara 37 hingga 73 tahun ditahan pada 3.30 petang hingga 6 petang hari sama.

Modus operandi sindiket itu, setiap pendatang tanpa izin atau Pemastautin Sementara yang tidak memiliki dokumen lengkap atau mempunyai sekatan perlu membayar sekitar RM2,500 kepada ejen pendatang jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Sindiket ini kemudiannya akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad, kepada kumpulan pendatang tanpa izin menggunakan khidmat mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya