PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui teruja melihat kebangkitan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kembali mempamerkan prestasi meyakinkan apabila menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional Nilai, kelmarin.
Menurut Azizulhasni yang juga digelar The Pocket Rocketman, kejayaan tersebut menjadi petanda bahawa Shah Firdaus semakin hampir untuk kembali berada pada tahap terbaik selepas berdepan cabaran kecederaan lutut yang menjejaskan momentumnya sebelum ini.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, prestasi dipamerkan pelumba kelahiran Johor berusia 30 tahun itu cukup menggembirakan, lebih-lebih lagi ketika skuad berbasikal trek negara sedang membuat persiapan menghadapi dua temasya besar iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
“Saya sangat gembira melihat dia kembali mendapatkan rentaknya. Apa yang ditunjukkan hari ini adalah petanda yang baik untuk masa depannya.
“Jika dia dapat mengekalkan prestasi seperti ini, saya percaya dia mampu memberikan cabaran lebih hebat pada Sukan Komanwel nanti,” katanya selepas perlumbaan.
Dalam perlumbaan tersebut, Shah Firdaus berjaya menewaskan Azizulhasni yang mewakili Team Azizul untuk meraih gelaran juara, sekali gus mengukuhkan keyakinannya menjelang aksi antarabangsa.
Mengulas kekalahan itu, Azizulhasni menjelaskan beliau masih berada dalam fasa membina semula tahap kecergasan dan prestasi selepas mengharungi beberapa kejohanan penting sebelum ini.
Katanya, program latihan yang dijalankan ketika ini lebih tertumpu kepada perancangan jangka panjang bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik menjelang dua temasya utama tersebut.
“Saya belum berada pada tahap kemuncak lagi. Ketika ini, fokus saya adalah untuk membina semula prestasi secara berperingkat mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Pada masa sama, Azizulhasni mengakui strategi perlumbaan yang digunakan Shah Firdaus menjadi faktor utama kejayaannya mengungguli saingan keirin.
Menurutnya, kemampuan Shah Firdaus mengawal rentak perlumbaan serta membuat keputusan tepat pada saat kritikal membuktikan pelumba itu semakin matang dan bersedia memikul cabaran lebih besar di pentas antarabangsa.
“Dia mengendalikan perlumbaan dengan baik dan membuat keputusan yang tepat. Itu menunjukkan dia semakin matang sebagai pelumba,” katanya. – UTUSAN










