HAVANA: Kerajaan Cuba pada Rabu mendakwa sekatan bekalan minyak yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) sehingga melumpuhkan negara pulau itu kini menghalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada mengagihkan 170 kontena bantuan kemanusiaan kepada penduduk.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk menamatkan lebih enam dekad pemerintahan komunis di Cuba.
Pada Januari lalu, beliau menghentikan bekalan minyak daripada Venezuela, pembekal utama Cuba dan sekutu rapat Havana. Trump turut mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap negara lain yang cuba membantu Cuba mengatasi krisis itu.
Sejak itu, hanya sebuah kapal tangki minyak dari Russia berjaya menghantar bekalan ke negara berkenaan.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez berkata, 170 kontena bantuan PBB bernilai AS$6.3 juta (RM25.64 juta) gagal disalurkan kepada penerima disebabkan kekurangan bahan api.
Menerusi hantaran di platform X, beliau menegaskan sekatan tersebut bukan sahaja menjejaskan prestasi ekonomi Cuba, malah turut mengganggu operasi organisasi antarabangsa yang berkhidmat di negara itu.
Sekatan ituS, bersama perluasan sekatan AS yang menghukum syarikat-syarikat yang menjalankan urusan perniagaan dengan kerajaan Cuba, telah memburukkan lagi krisis ekonomi dan tenaga paling teruk dihadapi negara itu dalam tempoh lebih satu generasi.
Beberapa kawasan di Havana dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga 30 jam pada satu-satu masa sejak beberapa hari lalu, manakala bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan semakin berkurangan.
Trump mendakwa Cuba yang terletak kira-kira 150 kilometer dari pantai Florida, merupakan ancaman besar kepada keselamatan negara AS dan pernah membangkitkan kemungkinan pengambilalihan secara ‘mesra’ terhadap negara yang mempunyai 9.6 juta penduduk itu.
Pada Isnin lalu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk menggesa supaya sekatan AS terhadap Cuba ditarik balik serta-merta.
“Kanak-kanak sedang kehilangan nyawa kerana doktor tidak mempunyai akses kepada bekalan perubatan dan ubat-ubatan penting. Keadaan ini tidak boleh diterima,” katanya. – AFP










