Mukadimah
MENDENGAR perspektif Malaysia daripada kelompok diplomat adalah sesuatu yang amat menarik.
Mereka kebanyakannya memuji keunikan dan keistimewaan yang ada di negara ini kerana di sini mempunyai kepelbagaian.
Sehubungan itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN IBRAHIM, C. SHEILA RANI dan NAWWAR ABDUL RAHIM serta jurugambar, FAUZI BAHARUDIN menemu bual Duta Delegasi EU ke Malaysia, MICHALIS ROKAS di pejabat kedutaan itu di Naza Tower, Platinum Park, Persiaran KLCC di ibu kota, baru-baru ini.
PAKAI BAJU BATIK
Mingguan Malaysia: Anda memakai baju batik Malaysia dalam sesi temu bual ini. Apa yang menggerakkan hati untuk memakainya?
Michalis Rokas: Saya suka memakai baju batik. Ia lebih selesa berbanding memakai sut kemeja. Di sini cuaca panas. Saya juga suka semua tentang Malaysia, terutamanya budayanya. Di sini saya temukan kepelbagaian. Rakyat di sini juga baik dan peramah.
Apa yang paling anda suka di Malaysia sepanjang dua tahun setengah berkhidmat di negara ini?
Banyak yang saya suka di sini. Keindahan alam semulajadi Malaysia sangat mengagumkan. Di sini saya banyak melakukan aktiviti mendaki dan mengembara. Saya akan melakukannya bersama-sama kawan-kawan. Setakat ini, saya sudah mendaki gunung ke-29 tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu dan meneroka gua terbesar di dunia iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak.
Anda sudah meneroka banyak negeri di Malaysia?
Saya suka mengembara. Lebih 50 peratus tempat di Malaysia saya sudah kunjungi. Saya sudah melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Redang di Terengganu. Setakat ini, hanya dua negeri yang saya belum kunjungi iaitu Kelantan dan Terengganu. Saya maksudkan meneroka Terengganu yang sebenar-benarnya.
SEBAHAGIAN KECIL ORANG EROPAH SUKA MAKAN PEDAS
Makanan yang anda paling suka?
Saya suka makan nasi lemak. Saya suka sambalnya. Saya mungkin dikategorikan sebahagian kecil orang Eropah yang suka makan pedas. Bagi saya rasa pedas dari sambal nasi lemak itu sangat sedap. Ya. Saya suka makanan pedas.
DULU BANGUNAN PALING TINGGI MENARA MAYBANK
Apa tanggapan anda apabila pertama kali mendengar tentang Malaysia iaitu sebelum datang ke sini? Segelintir orang Barat pernah menganggap Malaysia ketinggalan, tinggal atas pokok dan hidup dalam hutan.
Itu tidak benar. Malaysia tidak asing bagi saya. Saya pernah melancong ke Malaysia sewaktu bergelar mahasiswa pada awal tahun 1990-an. Pada waktu itu, bangunan paling tinggi yang saya pernah lihat adalah Menara Maybank di Jalan Tun Perak, Pudu. Jika hendak dibandingkan, Malaysia pada waktu dahulu dengan sekarang, jauh berbeza dan sangat pesat membangun. Malah, saya menganggap kemudahan infrastruktur di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara. – MINGGUAN MALAYSIA










