Dua beradik terpaksa bergilir ‘ponteng’ sekolah - Utusan Malaysia

Dua beradik terpaksa bergilir ‘ponteng’ sekolah

NURUL Syazwani Mohamad Shauti (kiri) dan adiknya, Nurul Hasnah teruja menerima sumbangan pakaian sekolah yang disampaikan pihak Kelab WMC Kelantan di kediaman mereka di Kampung Serungga, Gual Periuk, Rantau Panjang, Kelantan. – MINGGUAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Dua beradik dari Kampung Kampung Serungga, Gual Periuk di sini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah disebabkan kekurangan belanja.

Nurul Syazwani Mohamad Shauti, 12, dan adiknya, Nurul Hasanah, 10, berbuat demikian selepas bapa, Mohamad Shauti Zakaria, 41, hilang upaya untuk keluar bekerja akibat kencing manis kronik tahap empat.

Si ibu, Kalmilah Che Hussin, 38, pula patah kaki kanan selepas terjatuh semasa rumah ditenggelami banjir, Disember tahun lalu.

Demikian situasi dihadapi Nurul Syazwani dan Nurul Hasanah dengan ibu dan bapa­nya tidak berupaya menyediakan duit belanja harian RM2 setiap seorang bagi menghadiri sesi persekolahan.

Kedua-dua mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.

Kalmilah berkata, sejak terjatuh dan patah kaki, pergerakannya terbatas menyebabkan dia terpaksa menutup sementara perniagaan kedai runcit yang merupakan sebahagian daripada pendapatan keluarga.

“Saya tak mampu melakukan kerja-kerja berat, begitu juga suami. Sebelum ini, suami bekerja sebagai pemetik buah kelapa sawit namun disebabkan masalah kencing manis kronik, dia terpaksa berhenti kerja.

“Suami perlu suntik insulin sebanyak tiga kali sehari, jika tidak, dia akan lemah dan memudaratkan kesihatan,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia selepas menerima kunjungan Ketua Zon Kelab Waja Malaysia Kelantan (WMC), Mohd. Irwan Ismail bersama ahlinya yang turut menyumbang pakaian sekolah dan barangan keperluan dapur kepada keluarga terbabit.

Jelasnya, perbelanjaan makin bertambah tahun ini apabila anak ketiga, Mohamad Qhusairi, 6, akan memulakan persekolahan.

Katanya, anak bongsu, Mohammad Nu Aiman, berusia setahun, masih memerlukan susu formula untuk tumbesaran.

“Kami terpaksa catu makanan dan minta bantuan daripada keluarga terdekat,” jelas­nya.

Mengenai Nurul Syazwani dan Nurul Hasnah, jelasnya, kedua-dua anaknya itu hanya duduk di rumah jika ada antara mereka yang terpaksa bergilir ke sekolah.

Mereka yang ingin menyum­bang boleh salurkan kepada nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Kalmilah Che Hussin di nombor 03027020932184.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya