Dr. Mahathir cabar Anwar buktikan dakwaan

Dr. Mahathir cabar Anwar buktikan dakwaan

mahathir
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaan beliau menggunakan kedudukan ketika berkuasa untuk mengumpul kekayaan diri dan keluarga.

Bekas Perdana Menteri itu membuat cabaran sedemikian ekoran ucapan Anwar selaku Presiden PKR sewaktu kongres khas parti itu yang berlangsung pada minggu lalu.

Dr. Mahathir menegaskan, membuat tuduhan adalah satu perkara mudah tetapi dakwaan yang tidak dibuktikan dengan jelas tidak boleh diterima sebagai benar dan merupakan satu fitnah.

“Saya ingin dapat bukti daripada Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga saya dan anak-anak saya,” katanya dalam Facebook beliau semalam.

Ketika berucap pada Kongres PKR minggu lalu, Anwar merujuk kepada seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan dicampur 22 bulan yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan dirinya dan keluarga.

Walaupun Anwar tidak menyebut nama, beliau berkata, pemimpin itu hanya merungut tentang orang Melayu kehilangan segala-galanya selepas tidak lagi berkuasa.

Dr. Mahathir kemudian menjelaskan, beliau mengeluh sekarang kerana orang Melayu kehilangan segala-galanya selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Memang pun orang Melayu menjadi begitu miskin selepas saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Saya berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila menjadi Perdana Menteri selepas PRU14. Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,” katanya.

Justeru itu, beliau menyertai usaha untuk menyedarkan orang Melayu berhubung masalah mereka dengan pelancaran Proklamasi Melayu yang menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, malah Perlembagaan UMNO sendiri.

Dakwanya, halangan proklamasi itu bermakna kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan UMNO.

“UMNO tidak bantah. UMNO tidak lagi berpegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera lain.

“Apabila Kerajaan menghalang pihak lain melancar proklamasi ini, ia mengkhianati janji dalam Perlembagaan. Sebab itu orang Melayu patut tentang kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN