PETALING JAYA: Dasar ekonomi yang masih berada di takuk lama menyebabkan Malaysia masih terperangkap dengan isu middle income trap atau perangkap pendapatan menengah.
Justeru itu, Malaysia memerlukan satu kerangka model ekonomi yang baharu bagi mengubah struktur seluruh masyarakat yang masih terjerat dengan isu tersebut dan menyebabkan gaji dan upah tenaga kerja kemahiran masih rendah sejak sekian lama.
Selain tumpuan memerangi amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kartel dan monopoli, Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu serius dan berani menyeimbangkan hala tuju negara dengan memperkenal satu gagasan ekonomi yang jelas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inkslusif UKM (MINDA-UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, satu pendekatan agresif bagi mengubah struktur ekonomi secara menyeluruh perlu dilakukan sekiranya semua pihak serius ingin membawa jalan keluar daripada perangkap pendapatan menengah.
Kata pakar ekonomi itu, usaha berkenaan perlu dilihat merangkumi segenap aspek dan menjurus kepada iklim ekonomi berasaskan kemahiran, penggunaan teknologi digital dan kemudahan awam yang efisien.
Bagaimanapun katanya, sekiranya masih pada tahap lama, bukan sahaja soal perangkap pendapatan menengah tidak menemukan jalan penyelesaian, malah Malaysia terus ketinggalan jauh berbanding negara lain.
“Kita tidak boleh lagi dibelenggu dengan isu seperti terlalu bergantung pekerja asing tiada kemahiran di samping mengharapkan harga barangan murah, iaitu Malaysia perlu capai sebuah negara berpendapatan tinggi untuk membawa keluar daripada middle income trap.
“Selain bersungguh perangi rasuah, kita perlu ada asas ekonomi jelas yang diperkenal oleh kerajaan. Dalam mencapai soal ini, ia memerlukan satu dasar ekonomi baharu yang merangkumi semua aspek bagi mengubah struktur masyarakat.
“Perancangan pembangunan Malaysia menuntut perancangan dan gerak kerja pembangunan ekonomi yang baharu dan berbeza. Mengekalkan cara lama tidak akan membuahkan hasil yang berbeza,” katanya.
Semalam, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi Minda Pengarangnya menyebut masalah perangkap pendapatan menengah yang membelenggu negara selama hampir satu dekad.
Luah beliau, lebih 60 tahun merdeka, seorang jurutera bukan syarikat ternama atau multi nasional hanya menerima gaji permulaan RM1,800 iaitu di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM2,208 sebulan. – UTUSAN










