Cuba selamatkan anak, lelaki dikhuatiri lemas

Cuba selamatkan anak, lelaki dikhuatiri lemas

PASUKAN Bomba meneruskan operasi SAR lelaki hilang dikhuatiri lemas di Putatan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dipercayai cuba menyelamatkan anaknya semasa kereta miliknya tergelongsor ke dalam sungai di Jalan Imbaan Sailan, Putatan petang semalam diteruskan pada pukul 6 pagi ini.

Lasibi Lawadihu,40, yang dikhuatiri lemas dipercayai sedang melakukan aktiviti memancing sebelum menyedari kereta yang diparkir di tebing tergelongsor ke dalam sungai dalam kejadian kira-kira pukul 5.53 petang semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Rony Sikawan berkata, berdasarkan maklumat awal, semasa kereta itu tergelongsor, anak mangsa yang berusia lima tahun berada didalamnya.

“Menyedari kereta yang diparkir di tebing sungai itu tergelongsor, mangsa cuba menyelamatkan anaknya. Mangsa mengeluarkan anaknya dari kereta berkenaan namun, tidak sempat ke tebing sungai.

“Orang awam yang berada di lokasi membantu menyelamatkan anak mangsa dengan membawanya ke tebing sungai. Namun, apabila mereka menoleh semula ke belakang, mangsa telah hilang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Rony, berkemungkinan semasa mengeluarkan anaknya, mangsa kehabisan tenaga hingga tidak mampu untuk membawa anaknya hingga ke tebing sebelum dilaporkan hilang.

Katanya, kereta yang tergelongsor itu telah tenggelam ke dalam sungai dan operasi SAR mangsa yang dimulakan petang semalam diteruskan pagi ini.

Operasi SAR hari kedua ini membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi menjalankan pencarian di permukaan air dan pencarian dilakukan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya