Campaklah saya dimana, saya tetap menyanyi - Utusan Malaysia

Campaklah saya dimana, saya tetap menyanyi

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2023 - Artis, Bob Yusof bergambar selepas sidang akhbar The Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) Konsert Sepanjang Zaman di Traders Hotel di sini, hari ini. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - AL - FAIZAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN semua penyanyi layak dianggap bersuara ‘emas’. Manakala Bob Yusof pula antara yang layak diletakkan dalam kategori tersebut kerana keunikan vokal yang dimilikinya.

Keistimewaan itu menempatkan Bob berdiri sama tinggi dengan penyanyi kelas A yang lain. 

Disebabkan itu juga, Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop dihujani permintaan untuk membuat persembahan dalam majlis dan acara berkategori  eksklusif dan gah.

Setinggi itu pencinta seni menghargai bakat dimiliki anak kelahiran Limbang, Sarawak ini. Ternyata, kelebihan yang dianugerahkan kepadanya tidak sia-sia.

Meskipun diangkat pada tahap sedemikian, Bob tidak pernah meletakkan label atau merasakan dirinya penyanyi kelas pertama. 

Baginya, dia hanyalah anak seni yang menghiburkan masyarakat di atas apa jenis pentas, berskala besar mahupun kecil.

“Kalau ada yang beranggapan saya hanya menyanyi di pentas-pentas besar, itu tidak benar sama sekali. Saya juga menyanyi di pentas kecil.

“Saya hanyalah seorang selebriti dan penghibur, jauh sekali saya melabel diri dan meletakkan kedudukan pada tahap tertentu.

“Setiap pentas, besar atau kecil membawa pengalaman yang berlainan buat seseorang penyanyi. Campaklah saya dimana, saya tetap menyanyi dan menghiburkan,” katanya.

Pandangan itu dikongsi Bob ketika dia hadir ke sidang media Raya Sepanjang Zaman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini.

Pengalaman yang dikumpul sejak 19 tahun lalu telah menjadikan pemenang tempat kelima Akademi Fantasia musim ke-2 ini sebagai tempat rujukan ramai penyanyi kelas pertama termasuk Dayang Nurfaizah dalam hal ehwal nyanyian dan lontaran vokal.

Meskipun begitu, Bob, tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa dia juga, seperti penyanyi lain, masih belajar dan tetap menggunakan khidmat mereka yang lebih pakar untuk memperbaiki kemahiran yang dimiliki.

“Saya akan gunakan khidmat penasihat vokal sebagai persediaan untuk mana-mana konsert atau pertandingan nyanyian. Saya gemar bertanya dan merujuk serta belajar semula ilmu yang pernah saya timba sebelum ini.

“Setiap persembahan mencerminkan kredibiliti sebenar penyanyi tersebut. Kerana itu saya anggap nyanyian adalah penting dan perlu digilap dengan ilmu dan pembelajaran.

“Saya bukan individu yang ambil mudah dalam apa juga perkara. Sebab itu sampai sekarang saya masih berguru, belajar untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih baik di masa yang akan datang,” katanya lagi.

Galas cabaran getir

Berbaki kurang dua bulan, Bob menggalas tugas penting apabila terpilih antara penyanyi yang akan mengembalikan nostalgia Hari Raya Aidilfitri menerusi konsert Raya Sepanjang Zaman yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada enam Mei depan.

Menerusi konsert istimewa itu, Bob bergandingan dengan nama-nama besar industri seni tanah air termasuk Datuk Hail Amir, Sanisah Huri dan Ziana Zain mendendangkan lagu-lagu Hari Raya popular sepanjang zaman.

Bagi penyanyi berusia 41 tahun ini, konsert berkenaan bukan persembahan biasa apatah lagi apabila dia diberi kepercayaan untuk menyanyikan koleksi lagu-lagu hari raya yang pernah dipopularkan biduanita tersohor negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Kata Bob, sepanjang kerjaya sebagai penyanyi, tugas berkenaan bakal menjadi antara yang paling besar dan berat yang pernah digalasnya.

“Allahyarham Datuk Sharifah Aini merupakan satu nama yang gah. Lagu-lagu hari raya yang didendangkan Allahyarham juga cukup sinonim dengan masyarakat kita.

“Terus terang saya katakan saya gemuruh apabila diberi tanggungjawab  menyanyikan semula lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri yang dipopularkan beliau. 

“Tetapi saya akan berikan yang terbaik dan persembahkan dengan cara saya sendiri,” jelasnya.

Bob bakal mempersembahkan secara medley lima hingga enam lagu, yang dipopularkan Sharifah Aini dan juga Datuk M. Nasir.

“Ia bukan tugas yang mudah, tetapi mereka yang menyaksikan persembahan kami nanti pastinya akan melihat satu kelainan apabila lagu-lagu hari raya didendangkan dengan iringan muzik orkestra.

“Saya akan cuba sehabis baik untuk sampaikan lagu-lagu penyanyi bertaraf legenda ini dengan cara saya sendiri,” tambahnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya