KOTA KINABALU: Calon-calon yang bertanding pada Pemilihan UMNO kali ini diingatkan agar tidak membawa en-bloc bagi menyokong parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan datang.
Demikian peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa sesi pengenalan calon UMNO di Sabah malam ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ahli-ahli UMNO disaran agar memilih calon yang baik untuk bersama-sama kepimpinan parti bagi mempertahankan UMNO dan kerajaan sedia ada.
“Kita tidak mahu ada dalam kalangan calon mahu membawa en-bloc untuk mendukung parti lain. Saya fikir calon-calon begitu tidak sama dengan pemikiran mainstream UMNO.
“Carilah pemimpin yang telah dicalonkan diri dan terdiri daripada mereka yang benar-benar komited memperkasakan UMNO semula terutama di peringkat nasional,” katanya.
Ahmad Zahid juga mengingatkan calon-calon agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pada pemilihan ini kerana dikhuatiri ada calon yang akan hilang kelayakan sebelum pemilihan parti pada 11 dan 18 Mac ini.
“Saya dapat tahu daripada Lembaga Disiplin bahawa ada laporan yang telah sampai kepada mereka jadi, jangan sampai ada yang hilang kelayakan. Walaupun menang, Jawatankuasa Pemilihan berhak untuk membatalkan kemenangan itu.
“Namun, saya yakin calon akan patuhi peraturan dan fahami apa yang diterapkan dalam peraturan pemilihan parti,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, biarpun ada beranggapan UMNO sedang menuju ke arah penurunan tapi, dari segi pencalonan yang menawarkan diri menunjukkan keadaan sebaliknya.
“Untuk Sabah, biarpun kita hadapi pelbagai masalah, dulu kita hadapi masalah parti-parti di luar Barisan Nasional (BN) kemudian, selepas BN membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kita hadapi masalah dalaman parti.
“Walau bagaimanapun, di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin, saya yakin UMNO Sabah akan tetap relevan dalam arena politik negeri ini.
“Kita akan memperlihatkan kerelevanan kita sebagaimana disebutkan Datuk Yakub Khan tadi bahawa jika ditakdirkan menang dan mewakili Sabah di peringkat sayap dan pusat, bawalah suara Sabah dalam mesyuarat Exco dan Majlis Tertinggi untuk mempertahankan hak rakyat Sabah dalam kerajaan perpaduan yang ada serta suarakan masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Pada pemilihan UMNO kali ini, seramai lapan calon dari Sabah bertanding untuk calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Yakub Khan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Mohamad Alamin, Datuk Hasnol Ayub, Julie Sabran, Sharif Musa Sharif Mabul dan Ghazalie Ansing.-utusan










