SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo membuat laporan polis pagi tadi ekoran wujud dakwaan mengatakan beliau dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO yang boleh menghalang beliau daripada bertanding Ketua Bahagian Sungai Besar.
Beliau ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah serta cubaan untuk menjatuhkannya dalam pertandingan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar dengan mempengaruhi undi-undi pada pemilihan peringkat sayap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Besar, hari ini.
Tegasnya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu mencetus provokasi tersebut selepas dikenal pasti menerusi siasatan polis.
“Berita fitnah tersebut mula tersebar sejak semalam dan saya sudah pun mengarahkan mesej itu dipadam, namun hari ini masih lagi disebarkan dan saya terus membuat laporan polis pagi tadi.
“Saya tak tahu (punca berita), mungkin ada provokasi yang sengaja dicetuskan supaya calon ketua wanita bahagian yang saya sokong tidak dipilih dalam pemilihan peringkat sayap hari ini. Kerana setakat ini alhamdulillah, ketua pemuda dan puteri menang tanpa bertanding,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, yakin mendapat sokongan untuk memenangi jawatan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar selepas mendakwa barisan kepimpinan yang dipilih dalam persidangan dan pemilihan kedua-dua sayap pada pagi tadi memihak kepadanya.
Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp mesej mendakwa Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus menang tanpa bertanding apabila seterunya itu dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO.
“Tahniah Datuk Seri Jamal, menang pemilihan UMNO 2023-2026 sebagai Ketua UMNO Bahagian sungai Besar tanpa bertanding. Dapat maklum Dr Khir Toyo dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin. Tahniah Datuk Seri,” dakwaan dalam mesej itu.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Besar, Datuk Mohd. Imran Tamrin turut menerima mesej berkenaan dan memaklumkan ‘berita’ tersebut berlegar-legar dalam kalangan perwakilan UMNO di sana, namun tidak dapat memastikan kebenarannya.
“Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran berita tersebut dan sebaiknya perkara tersebut diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan untuk menentukan kedudukan kedudukan pertandingan antara Mohd. Khir dan Jamal.
“Berita itu memang ada, tetapi saya tidak boleh mengesahkannya sama ada benar ada calon menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut ataupun tidak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Imran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang mengesahkan mengesahkan kemenangannya tanpa bertanding selepas diberitahu tiada individu lain menghantar pencalonan sehingga 26 Februari lalu.
Turut menang tanpa bertanding adalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sungai Besar, Didi Nor Hidayah Darunai selepas mesyuarat kedua-dua sayap itu selesai pada tengah hari tadi.
Sementara pergerakan wanita pula yang bermesyuarat pada pukul 2 petang tadi dijangka diketahui keputusannya malam ini untuk menentukan status pertembungan dua penjuru antara penyandang, Datuk Siti Zubidah Mohd. Maskor atau Norsuzilawati Sadar. – UTUSAN










