KUALA LANGAT: Harga mahal, kuantiti sedikit dan saiz kecil antara luahan pengguna yang mengunjungi bazar Ramadan sekitar Bandar Banting, di sini bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.
Menurut pengunjung sebuah bazar dari Kampung Sungai Buaya, Ramdin Mat, 38, dia terkejut melihat kuih ketayap saiznya dua kali ganda lebih kecil berbanding biasa dan dijual sehingga RM3 untuk empat ketul.
“Kuih ketayap berkenaan terlalu kecil atau ‘kontot’, walaupun dalam sebungkus ada empat ketul, tetapi jika dibandingkan dengan saiz yang dijual pada hari biasa macam dua ketul dipotong dua.
“Sebelum ini harga RM3 pun dapat saiz yang lebih besar. Kuih lain pun macam itu juga. Sudahlah mahal, saiz dan kuantiti pun dikurangkan. Pengguna macam kami tiada pilihan lain terpaksa juga beli sekadar yang termampu,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia pada bazar-bazar sekitar pusat bandar itu mendapati rata-rata pengunjung merungut tentang kenaikan harga makanan yang dijual.
Selain makanan, harga sebungkus air minuman pelbagai perisa naik daripada RM3 hingga RM4 atau RM5 berbanding tahun lalu.
Walaupun merungut, bazar Ramadan tetap menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan menu yang diingini mereka.
Bagi pengunjung dari Kampung Kanchong Bengkok, Zaki Ahmad,53, walaupun juadah seperti murtabak naik RM1, tetapi kerana ingin menjamu anak yang baru belajar berpuasa ia tetap dibeli.
“Sebelum ini martabak ayam RM3 lebih sekarang sudah jadi RM5. Walaupun harga naik ramai orang yang beratur. Lauk-pauk naik antara RM1 hingga RM2 berbanding harga sebelum ini. Peniaga kata kos naik kita terpaksa terima sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, di dalam media sosial pula semakin ramai pengguna menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kualiti makanan di bazar Ramadan termasuklah masalah basi dan hangus sehingga mereka menyifatkan peniaga dengan pelbagai tanggapan.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Hisham Shahrul berkata, dia membeli martabak tersebut di sebuah gerai setelah melihat juadah yang dimasak peniaga itu agak menyelerakan.
“Saya ada beli beberapa keping martabak dan peniaga itu susun martabak berkenaan elok-elok. Bila sampai rumah dan buka bungkusan, baru saya nampak ada dua keping martabak hangit yang mana salah satunya, hangit sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










