Bayaran haji naik RM1,000-RM3,000, B40 kekal bayar RM10,980

Bayaran haji naik RM1,000-RM3,000, B40 kekal bayar RM10,980

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bayaran haji seorang jemaah muassasah bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40) kekal RM10,980 di sebalik Tabung Haji (TH) menaikkannya antara RM1,000 dan RM3,000 pada tahun ini.

Ini bermakna tiada sebarang tambahan bayaran dikenakan kepada golongan B40 untuk menunaikan haji musim ini.

Ini disebabkan kenaikan bayaran RM1,000 untuk golongan B40 itu ditanggung oleh kerajaan.

Asalnya, kedua-dua kumpulan itu masing-masing perlu membayar sebanyak RM11,980 untuk kumpulan B40 dan RM15,980 bagi kumpulan (M40). Manakala kumpulan berpendapatan tinggi melebihi RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuh­nya sebanyak RM30,850 seorang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lem­baga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, walaupun terdapat kenaikan kos haji, kumpulan B40 akan me­­nerima Bantuan Kewangan Ha­ji (HAFIS) secara bersasar sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji yang di­­jangka mencecah RM220 juta.

Sementara kumpulan M40 katanya, akan menerima bantuan sejumlah RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji dan jumlah bantuan itu dijangka mencecah RM180 juta.

“Bantuan kewangan haji bersasar akan dapat me­ngurangkan beban kewangan Tabung Haji supaya dapat mencapai matlamat utama menyediakan kemudahan umat Islam dengan menyimpan wang untuk mengerjakan ibadah di samping menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan demi kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Jumlah bantuan kewa­ngan haji (B40 dan M40) dianggar lebih daripada RM400 juta untuk tahun ini walaupun terdapat peningkatan pada kadar bayaran haji tahun ini. Ini akan mengurangkan hasil pendapatan pelaburan yang boleh diagih kepada semua pendeposit Tabung Haji.

“Selain itu, kenaikan bayaran haji tahun ini seiring dengan peningkatan kos me­nunaikan haji dan tidak dapat dielakkan berikutan faktor luar kawalan Tabung Haji seperti inflasi, cukai nilai tambah 15 peratus, peningkatan caj bagi perkhidmatan di Arab Saudi dan kos pasca Covid-19 serta pembangunan di Mekah dan Madinah yang memberi tekanan kepada kadar sewaan bangunan penginapan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara TH di sini semalam.

Sebelum ini, Tabung Haji menganggarkan kos keseluruhan menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini berbanding RM28,632 pada 2022.

Mengulas lanjut, kata Amrin, mereka yang merayu di luar giliran untuk menunaikan haji secara muassasah perlu membayar kos penuh haji sebanyak RM30,850 seorang.

“Ini melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah atau rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang telah terpilih menunaikan haji,” katanya.

Dalam pada itu, kata Amrin, Tabung Haji akan mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji tahun ini bermula 22 Mac ini dan bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran itu dalam tempoh tujuh hari bekerja me­lalui aplikasi THiJARI.

“Tabung Haji mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya pada 2022 dan 2023. Ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

“Rayuan haji melalui aplikasi THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac 2023 dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram. Tahun ini kerajaan Arab Saudi tidak lagi mengehadkan umur untuk tunai haji,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN