SEGAMAT: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Nyata mangsa banjir bukan sahaja terjejas rutin harian mereka, malah terpaksa menanggung banyak kerugian akibat bencana berkenaan.
Kerana tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan baharu bagi anak-anak yang akan memulakan sesi baharu beberapa hari lagi, ada antara ibu bapa yang terpaksa menggunakan dan membasuh semula pakaian seragam walaupun kotor kerana terendam banjir.
Bagi seorang ibu, Habibah Yahya, 27, dan suaminya tidak dapat membeli pakaian sekolah baharu untuk dua anaknya kerana terpaksa berjimat menjelang bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri tiba tidak lama yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
“Baju sekolah anak-anak tidak sempat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat pada tengah malam dan saya hanya sempat capai dokumen penting
“Saya membasuh semula pakaian sekolah mereka sebanyak dua kali kerana lumpur yang tebal dan terpaksa menilakan baju supaya kelihatan bersih dan baharu. Kasut sekolah pula orang bagi yang terpakai, muat dengan saiz kaki anak, kita ambil sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Seberang Batu Badak, di sini.
Habibah berkata, kelengkapan lain seperti beg sekolah juga tidak dibeli baharu dan hanya menggunakan yang sedia ada.
“Saya memang tidak beli apa-apa tahun ini untuk sekolah anak-anak. Kalau diikutkan dua orang anak boleh sampai RM500 untuk pakaian dan kelengkapan sekolah.
“Hari ini pun saya kena bayar yuran sekolah kebangsaan, dua orang anak nak dekat RM400 dan belum lagi sekolah agama. Kami harap kerajaan mempercepatkan pemberian bantuan wang kepada mangsa banjir kerana bantuan banjir Januari lalu pun belum dapat lagi, kena tangguh sebab banjir bulan Mac ini,” katanya.
Sementara itu, Norana Mohamad, 31, pula memberitahu, tahun lalu dia tidak dapat menghantar anaknya ke sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan kerana rumah mereka ditenggalami banjir.
“Kami tidak sempat beli apa-apa. Kali ini juga kami pakai apa yang ada, kena berjimat untuk keperluan yuran sekolah, menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Perkakasan rumah juga rosak akibat banjir, banyak wang diperlukan untuk membina semula kehidupan lepas banjir ditambah dengan harga barang dapur sekarang yang naik. Bantuan wang tunai daripada kerajaan juga belum kami terima sejak banjir Januari lalu,” katanya. – UTUSAN










