Bank Islam, MESINKIRA pacu transformasi digital usahawan mikro

Bank Islam, MESINKIRA bekerjasama pacu transformasi digital usahawan mikro

MOHD. Nazri Chik (dua kiri) dan Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar bertukar dokumen perjanjian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama dengan MESINKIRA Sdn. Bhd. (MESINKIRA) untuk mengguna pakai penyelesaian bersepadu pengurusan perniagaan mudah alih.

Kerjasama itu bertujuan menyokong pendigitalan operasi perniagaan usahawan-usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan.

Kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd. Nazri Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif MESINKIRA, Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar.

“Melalui kerjasama ini, Bank Islam akan terus membimbing usahawan mikro yang sebelum ini kurang mendapat akses perbankan untuk melayakkan mereka mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih MESINKIRA.

“Aplikasi tersebut akan membantu usahawan merekodkan hasil jualan secara digital, menerima bayaran
menerusi pelbagai saluran, inventori, perbelanjaan perniagaan dan simpan kira yang seterusnya menghasilkan penyata kewangan lengkap sebagai dokumen sokongan perniagaan mereka untuk masa hadapan,” jelas Bank Islam dalam kenyataan.

Selain itu, Bank Islam akan turut memanfaatkan penyelesaian Papan Pemuka Impak MESINKIRA untuk menilai prestasi para usahawan mikro dengan lebih lanjut dan meneliti kecekapan program pembiayaan mikro yang disediakannya dalam
mewujudkan peningkatan status sosioekonomi dalam kalangan usahawan terbabit.

Jelas bank berkenaan, penyelesaian bersepadu MESINKIRA turut memperkasakan usahawan-usahawan mikro ke arah penyelesaian tanpa tunai dan menerima kaedah pembayaran digital seperti kad, bayaran digital, bayaran komunikasi medan dekat (NFC) dan e-dompet dengan lebih selamat.

Sementara itu, Mohd. Nazri berkata, Bank Islam menerusi strategi perniagaan lima tahunnya berhasrat menjadi penyedia penyelesaian kewangan lengkap patuh Syariah-ESG dan menerajui bidang perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025.

“Kami terus mengadakan libat urus dengan usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan di lapangan dan peka akan kekangan yang mereka hadapi, terutamanya aspek celik kewangan. Kami berbesar hati menjalin usaha
sama dengan MESINKIRA dalam menyediakan ekosistem inklusif kepada segmen ini.

“Kerjasama ini akan menyediakan peluang pertumbuhan kepada usahawan mikro dan membantu mereka celik kewangan. Usaha ini selaras dengan komitmen Bank Islam dalam mewujudkan impak sosial, yang mana kami menyokong ekonomi
sebenar dan memupuk peningkatan isi rumah menerusi keusahawanan dan ekosistem kewangan sosial,” kata beliau.

Syed Omar Almohdzar pula berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan celik kewangan, pada masa sama memperkukuhkan rangkuman kewangan kepada segmen usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan.

Katanya, kemudahan inovatif MESINKIRA dapat mengurangkan kos dan memperluas akses kepada produk kewangan, seterusnya membolehkan perniagaan terlibat untuk berkembang maju.

“MESINKIRA turut menambah baik pendapatan bersih usahawan mikro dan lebih utama, membina kepercayaan kredit yang lebih kukuh kepada ekosistem ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN