PRAIA: Kekalahan 2-3 kepada juara bertahan, Argentina pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 langsung tidak mematahkan semangat rakyat Cape Verde apabila sambutan besar-besaran tetap berlangsung di ibu negara, Praia seolah-olah pasukan itu baru sahaja mencipta sejarah sebagai juara.
Pasukan digelar Blue Sharks itu menutup kempen sulung Piala Dunia dengan penuh bergaya selepas mengheret Argentina ke masa tambahan sebelum tewas menerusi jaringan sendiri Diney Borges pada minit ke-111 di Stadium Miami.
“Kami kalah perlawanan ini, tetapi kami rasa seperti meraih kemenangan kerana mampu memberikan tentangan hebat kepada juara dunia dan Cape Verde benar-benar luar biasa.
“Perjalanan ini membuktikan kami mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan terbaik dunia dan itu sudah cukup membanggakan seluruh rakyat Cape Verde,” kata penyokong, Adilson Soaresz.
Sorakan, tiupan vuvuzela, paluan gendang serta konvoi kenderaan memenuhi jalan-jalan di Praia sehingga awal pagi sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian bersejarah negara kepulauan yang hanya mempunyai lebih 500,000 penduduk itu.
“Cape Verde meninggalkan Piala Dunia dengan penuh maruah dan kami hampir menewaskan Argentina sehingga mereka sendiri terpaksa berhempas-pulas untuk menang.
“Rasanya seperti menyaksikan aksi final Piala Dunia kerana siapa sangka Cape Verde mampu memaksa Argentina beraksi hingga ke masa tambahan,” kata penyokong, Pedro Ramos.
Cape Verde mencipta sensasi pada penampilan sulung Piala Dunia apabila mara ke pusingan kalah mati selepas mengikat juara Eropah, Sepanyol selain Uruguay dan Arab Saudi sebelum hanya tunduk tipis kepada juara dunia dalam satu lagi aksi yang mengangkat nama negara kecil itu di pentas bola sepak dunia. – AGENSI










