PASIR MAS: Pas tidak membentangkan manifesto secara menyeluruh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, sebaliknya hanya menawarkan beberapa inisiatif khusus di kawasan yang ditandinginya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendekatan itu diambil kerana parti tersebut hanya bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain meletakkan sasaran untuk menjadi pembangkang yang berwibawa, bukannya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
“Manifesto ini merujuk kepada bilangan kerusi yang ditandingi. Kita mahu menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukan mahu mengambil alih kerajaan negeri. Jadi saya rasa tidak perlu mengemukakan manifesto.
“Sebaliknya, kita ada beberapa tawaran yang dibuat secara spesifik di kawasan-kawasan tertentu. Kita mengambil kira keperluan pengundi bagi menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pasir Mas di Meranti, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, keutamaan Pas pada PRN Johor adalah memastikan parti tersebut dapat memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang yang berkesan dalam DUN.
Beliau berkata, Pas telah membuat analisis terhadap jumlah kerusi yang ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor sebelum memutuskan untuk tidak membentangkan manifesto secara keseluruhan.
“Secara umumnya kita melihat jumlah kerusi yang ditandingi PN dan menyediakan beberapa tumpuan untuk dilaksanakan. Namun, buat masa ini ia tidak boleh diterima sebagai manifesto.
“Keutamaan kita kekal untuk berperanan dalam konteks semak dan imbang terhadap Kerajaan Johor. UMNO masih kuat di Johor dan menang di 40 kerusi pada pilihan raya sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










