DUA bahagian UMNO yang ditandingi bekas Menteri Besar Terengganu menjadi tumpuan pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahan jawatan tersebut akan dicabar Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Hussin.
Walaupun Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dikatakan mempunyai peluang cerah memenangi pertandingan tersebut, kemampuan Mohamed Rahim mencabar kedudukan ‘otai’ UMNO Kemaman itu tidak boleh dipandang mudah.
Difahamkan Mohamed Rahim mempunyai pengaruh dalam kalangan ahli-ahli UMNO yang mahu melihat perubahan kepimpinan di bahagian itu.
Bagaimanapun kepimpinan sayap-sayap UMNO dan ketua-ketua cawangan di bahagian tersebut dikatakan memberi sokongan padu kepada ADUN Kijal itu.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman pula mahu merampas semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang kini disandang Dr. Apli Yusoff.
Ahmad Razif yang merupakan bekas ADUN Seberang Takir pernah menyandang jawatan itu sebelum ini mempertaruhkan nasib pada pemilihan parti kali ini.
Bagaimanapun peluang kedua-dua pemimpin tersebut untuk memenangi jawatan itu dilihat seimbang kerana mereka mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri.
Dalam pada itu, tiga bahagian lagi yang menyaksikan perebutan sengit ialah Kuala Terengganu, Besut dan Terengganu.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh akan dicabar oleh bekas penyandang jawatan itu, Datuk Mohd. Sobri Alwi dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmi Faiz Mohamed Aris manakala Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad akan disaingi ADUN Jertih, Datuk Muhammad Fehimi Yusof, Ismaoun Mohamad dan Wan Mohammad Wan Ahmad serta Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam ditentang timbalannya, Azhar Jambol.
Tiga lagi bahagian pula dimenangi penyandang tanpa bertanding iaitu Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Sabri Mohd. Noor. – UTUSAN










