KANGAR: Wanita yang ditahan kerana disyaki mendera tiga orang anaknya disifatkan sebagai seorang yang penyayang walaupun anak-anaknya termasuk dua orang kurang upaya (OKU) cukup nakal.
Kakak kepada wanita berkenaan, Hamiah Osman, 70, berkata, adiknya itu tidak pernah memukul anak-anak dan kebiasaannya hanya meninggikan suara bagi menegur sebarang tindak tanduk remaja berkenaan yang kadangkala di luar jangka.
Katanya yang tinggal di sebelah kediaman adiknya di Kampung Lat 1000 di sini, anak saudaranya itu memang sukar dikawal dan disebabkan itu mereka dirantai ketika adiknya pergi kerja atau ada urusan lain yang jauh.
“Saya juga sememangnya tahu anak-anak ini dirantai kaki ibunya bagi mengelakkan mereka berkeliaran di luar rumah memandangkan kawasan kediaman itu terletak berhampiran laluan utama jalan raya dan sungai.
“Sebelum ini, anak sulung adiknya itu juga pernah terjatuh ke dalam sungai sewaktu bermain namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mungkin itu cara dia mengawal anak-anak daripada berkeliaran memandangkan adik saya turut terikat sebagai pekerja pembersihan di sebuah institusi pengajian di sini,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan mengenai penemuan tiga beradik dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya masih diikat rantai pada kaki di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini.
Tambah Hamiah, sebelum ini, adiknya memang mempunyai perancangan menghantar dua anaknya itu untuk diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun membatalkan hasrat berkenaan kerana berat untuk berpisah dan takut mereka dibuli.
Dalam pada itu, suami kepada Hamiah, Bahari Man, 74, pula berkata, bekas lebam pada bahagian leher salah remaja itu bukan disebabkan oleh kesan dera namun berikutan tindakan mereka yang disifatkan sangat nakal.
Ujarnya, bapa tiri kepada remaja itu juga berperwatakan baik dan tidak pernah memukul mereka.
“Anak-anak ini sering mencari jalan untuk keluar dari rumah termasuklah dengan merosakkan jeriji tingkap. Walaupun adik baharu sahaja melangsungkan perkahwinan kali ketiga sejak tiga bulan lalu, suaminya seorang yang baik dan mesra.
“Saya dan isteri juga berasa sedih dengan tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa adiknya seorang pendera sedangkan hakikat sebenar wanita itu sentiasa menjaga serta memastikan kelengkapan anak-anaknya mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan berlaku pada remaja berkenaan dan siasatan masih dijalankan buat masa ini. – UTUSAN










