‘Abang nak ikut jejak langkah ayah jadi polis’ - Utusan Malaysia

‘Abang nak ikut jejak langkah ayah jadi polis’

NOORAZIAH Noor melihat potret gambar Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat yang digantung di dinding kediaman mereka di Kangar, Perlis, sambil ketiga-tiga anaknya memberikan tabik hormat. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat, terkorban dalam tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah 10 tahun lalu, Noor Aqmar Amiruddin baru berusia lima tahun dan masih tidak mengerti apa-apa berhubung kejadian berkenaan.

Dua adiknya iaitu Noor Muhammad Aqil pula berusia setahun dan Noor Aqib Syahid masih berada dalam kandungan ibu, Nooraziah Noor, 38.

Masa berlalu, ketiga-tiga anak wira negara itu yang ma­sing-masing berusia 15, 11 dan 10 tahun sudah memahami pemergian bapa kesayangan mereka kerana bertugas demi negara.

Namun di sebalik rasa kesedihan kehilangan insan tersayang, jauh di sudut hati mereka berasa cukup bangga.

NOORAZIAH Noor bersama tiga anaknya melihat album gambar Allahyarham Asisten Superitenden Zulkifli Mamat di kediaman mereka. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Abang nak ikut jejak ayah dan ingin berkhidmat kepada negara walaupun ayah pernah pesan apabila besar nanti agar abang jadi doktor.

“Meskipun sedih kehilangan ayah namun saya bangga hingga akhir hayat ayah berjuang untuk negara,” kata Noor Aqmar kepada Utusan Malaysia sambil melihat uniform pernah dipakai bapanya semasa bertugas dulu.

Dalam kejadian 10 tahun lalu, Zulkifli dan Sarjan Sabarudin Daud menjadi korban pertama tragedi Lahad Datu pada 2013, selepas pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan penceroboh.

Sementara itu Nooraziah berkata, selepas 10 tahun berlalu, kehidupan dia dan anak-anak berjalan baik selain anak-anak juga mendapat pendidikan yang teratur.

Katanya, ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain banyak membantu dalam meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

ANAK-ANAK Allahyarham Asisten Superitenden Zulkifli Mamat, melihat uniform milik ayah mereka ketika ditemui di kediaman mereka. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Selepas 10 tahun kejadian itu, saya juga berharap kerajaan sentiasa mengingati pengorbanan wira negara dan ahli keluarga mereka dengan apa-apa bantuan yang diperlukan waris-waris terbabit dapat dipertimbang serta dipermudahkan khususnya dalam soal pendidikan,” katanya yang juga seorang guru.

Sementara itu, mengimbau kejadian tersebut, Nooraziah berkata, pada malam sebelum kejadian, arwah suaminya itu sempat mengirimkan mesej memaklumkan dia berasa agak letih serta tidur di ladang kelapa sawit.

Katanya, pada sebelah pagi seperti biasa dia membalas mesej suaminya itu namun hairan apabila pesanan tersebut tidak berbalas sehinggalah dia mengetahui bahawa insan kesayangannya itu maut ditembak.

“Itulah mesej terakhir yang dihantar. Pada masa itu, saya agak terkejut dan beberapa kali pengsan. Sebenarnya bukan mudah untuk melupakan insan tersayang dengan saya mengambil masa lebih tiga tahun untuk kembali bersemangat seperti sediakala.

“Pada masa itu, anak sulung saya berusia lima tahun tidak banyak bertanya, dia (abang faham) ayah selalu bertugas (operasi) manakala adik pula baru berusia setahun dan anak bongsu ketika itu masih berada dalam kandungan. Sekarang mereka (anak-anak) sudah faham,” katanya.

ANAK sulung Allahyarham Asisten Superitenden Zulkifli Mamat, Noor Aqmar Amiruddin, memegang uniform arwah ayahnya yang masih disimpan sendiri di kediamannya. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang antara kenangan yang selalu berada dalam ingatan Nooraziah adalah berkaitan makanan kegemaran Allahyarham yang sangat suka sup ‘gear box’.

Katanya, setiap kali menyambut Aidilfitri, Allahyarham antara yang paling sibuk untuk menyediakan kelengkapan lebih awal.

“Kali terakhir kami beraya bersama pada 2012 sebelum suami pergi buat selama-lamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.