MELAKA: Pas akan meletakkan calon di lebih 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, angka itu dianggap realistik berdasarkan kemenangan dua kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Jasin dan Tangga Batu.
Katanya, ia menjadi petunjuk bahawa sokongan terhadap Pas semakin berkembang, sekali gus boleh diterjemahkan ke peringkat DUN.
“Apabila kita terjemahkan undi Parlimen kepada DUN, kita dapati ada ruang yang sangat munasabah untuk Pas menang. Ini memberi keyakinan bahawa kita bukan sekadar bertanding tetapi berupaya memberi saingan serius.
“Pilihan raya bukan hanya soal angka tetapi juga gerak kerja di peringkat akar umbi. Jika jentera bergerak dengan tersusun dan sokongan rakyat kekal, peluang itu boleh direalisasikan,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Melaka di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil di sini, malam tadi.
Muhammad Sanusi berkata, analisis undi kerusi Parlimen yang dipadankan dengan DUN menunjukkan terdapat beberapa kerusi berpotensi untuk dimenangi, sekiranya momentum sokongan dapat dikekalkan.
Katanya, walau bagaimanapun kejayaan tetap bergantung kepada kekuatan jentera parti serta kesepaduan sokongan pengundi di Melaka.
“Pas telah berjaya menembusi tembok-tembok besar yang sebelum ini sukar ditembusi seperti Bandaraya Alor Setar, sekali gus membuka peluang untuk parti ini melangkah lebih jauh terutama di Melaka nanti,” ujarnya.
Katanya, Pas kini memberi tumpuan kepada pengukuhan strategi di kawasan sasaran termasuk meningkatkan kehadiran di lapangan dan mendekati pengundi secara berterusan.
“Momentum sudah ada. Sekarang kita perlu gandakan usaha supaya peluang ini diterjemahkan kepada kemenangan sebenar dalam PRN nanti,” katanya.-UTUSAN










