60 peratus kawasan tiada bekalan air bersih

60 peratus kawasan tiada bekalan air bersih

KAMPUNG Pinapak, Pitas di Sabah antara kawasan pedalaman yang belum mendapat bekalan air bersih. -UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Setelah lebih 60 tahun negara ini merdeka, sebilangan besar penduduk Sabah masih lagi bergantung kepada bekalan air sungai, tadahan hujan, air perigi mahupun air graviti.

Kira-kira 60 peratus kawasan luar bandar di negeri ini masih belum menerima bekalan air bersih dan hakikat ini cukup menyedihkan.

Sehingga ke hari ini, penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan pulau termasuk di Pulau Banggi, Kudat masih menggunakan air perigi untuk kegunaan seharian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, di kawasannya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas, 50 peratus penduduk masih lagi mendapatkan bekalan air dari sungai, air graviti, air perigi mahupun air daripada sumber telaga tiub.

“Ada beberapa kampung se­perti Kampung Malubang dan Kampung Bongkol, kawasan yang ramai penduduk namun, kurang sumber mata air. Jadi, terpaksa menggunakan telaga tiub dengan mengorek air dari bawah tanah.

“Malah, ada tempat-tempat kita buat takungan air hujan dengan membuat kolam tanah. Itulah air yang penduduk kampung pakai untuk kegunaan seharian.

“Mahu mendapatkan bekalan air bersih memang sukar jadi, penduduk kampung terpaksa mengunakan air yang tidak selamat untuk dipakai. Kalau mahu gunakan sebagai air minum, air tersebut perlu dimasak terlebih dahulu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas itu berkata, beliau mengambil inisiatif bekerjasama dengan agensi lain seperti jabatan kesihatan negeri bagi menyediakan bekalan air bersih ke rumah-rumah penduduk kampung.

RUDDY AWAH

Menurut Ruddy, kerajaan Sabah sentiasa sedia membantu namun, bantuan yang diberikan terhad kepada peruntukan yang diterima daripada kerajaan Persekutuan.

“Masih banyak perkara-perkara yang perlu diperhalusi dan dipercepatkan. Salah satu adalah pelaksanaan projek kerana biarpun kelulusan peruntukan telah diberikan, penganugerahan projek yang mengambil masa lama menyebabkan projek lambat dimulakan.

“Di samping itu, masalah jalan raya yang sukar diakses memberi kesukaran untuk membekalkan air bersih ke kawasan pedalaman. Maka, saya berharap kerajaan perpaduan dapat menyalurkan lebih ba­nyak peruntukan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di Sabah,” katanya.

Jelas beliau, senarai semak perlu dilakukan bagi mengenal pasti daerah atau kawasan-kawasan yang belum menerima peruntukan bagi pembekalan air bersih.

“Kita harapkan kerajaan perpaduan Malaysia Madani boleh memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan masalah bekalan air, ia keperluan rakyat. Kalau tiada air, orang boleh mati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×