3,000 bot kecil tiada lesen, insurans - Utusan Malaysia

3,000 bot kecil tiada lesen, insurans

NOR Ariza Aris (tiga dari kiri) bersama ahli PBKM pada sidang akhbar di sebuah hotel di Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kira-kira 3,000 daripada anggaran 5,000 pemilik bot kecil di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dipercayai tidak berlesen serta tidak dilindungi insurans.

Ia sekali gus boleh menjadikan penumpang bot tersebut berisiko ‘mati katak’ jika berlaku kejadian tidak diingini ketika berada di laut terutama apabila berlaku insiden pelanggaran antara bot.

Naib Pengerusi Persatuan Bot Kecil Malaysia (PBKM), Nor Ariza Aris, kejadian pelanggaran antara bot adalah kemalangan yang sering berlaku di perairan di negara ini.

Bagaimanapun, jelasnya, Akta Perkapalan Saudagar 2011 (Akta 1393) tidak menyatakan dengan jelas perlindungan terhadap bot yang terlibat dengan kejadian pelanggaran seperti itu.

“Oleh itu, kami menyarankan semua pemilik bot kecil agar mengambil perlindungan insuran dan memastikan ianya memiliki klausa pelanggaran antara kapal dengan kapal (RDC) bagi memastikan pemilik, pemandu bot, bot, barangan dibawa dan penumpang mereka dilindungi jika berlaku kemalangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Eksekutif PBKM, Soh Chin Khoon dan Pengerusi Persatuan Rekreasi Pangkor, Mohd. Rizal Saimi.

Menurut beliau, PBKM yang ketika ini mempunyai kira-kira 800 ahli berdaftar dan 200 ahli bersekutu, sedia memainkan peranan dalam membantu pemilik bot terlibat memiliki lesen dan dilindungi insurans RDC.

Beliau memberi contoh, kejadian pelanggaran dua bot melibatkan 21 orang yang berlaku pada 6 Mac lalu melibatkan bot milik ahli persatuan itu dengan sebuah bot nelayan yang membawa penumpang.

Jelasnya, PBKM telah membantu bot ahli persatuan tersebut dengan memaklumkan kejadian itu dengan penasihat undang-undang persatuan, melakukan siasatan dalaman dalam tempoh 48 jam serta memberi bantuan lain kepada pemilik bot tersebut.

Chin Khoon pula menjelaskan walaupun pihaknya sudah melakukan siasatan dalaman terhadap kejadian tersebut, PBKM menyerahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh kes itu.

“Kita juga berharap dapat bertemu dengan Jabatan Laut untuk membincangkan isu perlindungan terhadap kemalangan pelanggaran sesama bot khususnya bot kecil.

“Adalah sesuatu yang pelik apabila kemalangan yang paling kerap berlaku tidak dilindungi undang-undang, ibarat membeli insurans kereta tetapi bila berlaku pelanggaran, kenderaan terlibat tidak dilindungi,” ujarnya.

Malah, katanya, Jabatan Laut menyenaraikan empat syarikat insurans yang boleh dilanggan pemilik bot, tetapi sebahagian besar syarikat tersebut tidak melindungi kemalangan pelanggaran sesama kapal.

Mohd. Rizal pula mencadangkan orang ramai yang ingin menggunakan bot untuk kegiatan rekreasi agar meminta pemilik bot menunjukkan lesen dan insurans mereka terlebih dulu sebelum menaiki bot tersebut.

Menurutnya, ia bagi memastikan penumpang terlibat dilindungi jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya