PRN Johor bukan medan bebaskan Najib

PRN Johor bukan medan bebaskan Najib

Abbas Azmi menyampaikan ucapan ketika menghadiri Program Karnival Komuniti Zon 19 di Seri Kembangan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dijadikan medan untuk membebaskan individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Abbas Azmi berkata, sebarang usaha mengaitkan kemenangan pilihan raya dengan pembebasan seseorang adalah tidak wajar kerana kedua-duanya melibatkan proses berbeza.

Katanya, pilihan raya diadakan bagi memberikan mandat mentadbir dan menentukan hala tuju pembangunan, bukannya untuk menyelesaikan kes mahkamah.

“Apa matlamat sebenarnya hendak mengadakan PRN? Adakah untuk kebaikan rakyat ataupun untuk membebaskan seseorang?

“Untuk membebaskan seseorang itu adalah urusan mahkamah dan soal perundangan. Jangan heret rakyat untuk membebaskan seseorang yang telah didapati bersalah di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Usahawan Komuniti Zon 19 MBSJ BKGK AutoShow di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa UMNO perlu memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor bagi membolehkan bapanya dibebaskan.

Abbas berkata, kenyataan sedemikian tidak matang dan tidak sepatutnya dijadikan naratif dalam kempen pilihan raya.

Katanya, proses perundangan perlu dihormati dan tidak sewajarnya dipolitikkan sehingga dikaitkan dengan keputusan pilihan raya.

“Kita mengundi adalah untuk kebaikan diri kita, masyarakat kita dan negeri kita, bukan untuk membela ataupun mengeluarkan seseorang yang telah pun didapati bersalah oleh mahkamah.

“Pengundi Johor perlu membuat pertimbangan yang bijak dengan mengutamakan masa depan negeri berbanding kepentingan individu. Kestabilan politik serta agenda pembangunan negeri perlu menjadi keutamaan bagi memastikan Johor terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN